Kekang berita tak benar tanpa halang kebenaran, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berucap di persidangan Lawasia di Petaling Jaya hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ada keperluan untuk menangani penyebaran berita tidak benar tanpa mengekang kebenaran.

Mengatakan beliau secara peribadi merasakan berita tidak benar perlu dikekang, Mahathir menambah sama ada undang-undang itu bagus atau tidak ditentukan oleh bagaimana pihak berkuasa menggunakannnya.

“Undang-undang antiberita tidak benar bagus kerana di media sosial anda boleh temui banyak pandangan salah dan ia mempengaruhi pemikiran orang ramai,” kata beliau pada sesi soal jawab di persindangan Lawasia hari ini.

Beliau berkata terhadap orang menyalahgunakan media sosial dan media alternatif – di mana tiada editor untuk menyunting kandungan – untuk menyebarkan berita tidak benar yang boleh menyebabkan masalah dalam masyarakat dengan mencetuskan kontroversi.

“Jadi bagaimana anda semak berita bagus dan teruk? Itulah masalah yang kita hadapi hari ini. Terus-terang saya katakan, saya fikir kita perlu mengekang berita tidak benar tetapi kita perlu melakukannya tanpa mengekang berita sebenar.”

Mahathir berkata rakyat seluruhnya perlu lebih sofistikated dalam bermasyarakat dan tidak menyalahgunakan Internet dan media sosial.

Beliau berkata lebih baik jika rakyat memanfaatkan platform itu untuk kepentingan negara.

Bulan lepas, Putrajaya mengulangi komitmen untuk memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar, lebih setahun selepas usul memansuhkannya dipatahkan di Dewan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang baru untuk memansuhkan akta itu pada sidang parlimen akan datang kerana tempoh bertenang yang ditetapkan Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan sudah tamat.

Sementara itu, Singapura memperkenalkan undang-undang terhadap berita tidak benar yang berkuatkuasa pada Rabu selepas undang-undang itu diluluskan awal tahun ini susulan suatu perundingan awam.

Kumpulan hak asasi di republik itu memberi amaran undang-undang itu boleh menyekat kebebasan bersuara, dan ahli politik pembangkang berkata ia boleh memberikan kuasa yang terlalu banyak kepada kerajaan ketika pilihan raya semakin dekat.