Mahkamah diberitahu tiada bukti Ku Nan serah RM2 juta kepada Umno

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan RM2 juta yang diterima Tengku Adnan Tengku Mansor daripada seorang ahli perniagaan sebagai sumbangan politik tidak sampai kepada Umno.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berkata wang itu dikesan terhenti di Tadmansori Holdings Sdn Bhd, di mana Tengku Adnan ialah pemegang saham majoriti.

“Tiada bukti RM2 juta dipindahkan kepada ibu pejabat Umno atau bahagian Kuala Kangsar atau Sungai Besar untuk dibelanjakan pada pilihan raya kecil ketika itu.”

Julia berkata, pegawai penyiasat SPRM, Muhamad Saad Bordani tidak perlu siasat melangkaui perkara itu kerana ia sama seperti membuat pembelaan bagi tertuduh.

“Di tahap ini, kami hanya perlu menunjukkan wujud unsur jenayah dan tidak perlu menjalankan kerja pembelaan,” katanya dalam hujah penutup kes itu.

Beliau berkata, Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong memindahkan wang itu kepada Tadmansori Holdings disebabkan persahabatan selama 40 tahun dengan Tengku Adnan.

“Dia tidak memeriksa sama ada wang itu sampai kepada Umno atau dibelanjakan pada PRK (Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar) ketika itu.”

Julia berkata, pihak pendakwaan tidak menjangkakan saksinya, Mohd Hasbi Jaafar yang juga ketua pegawai operasi Tadmansori Holdings, akan memberi keterangan memudaratkan kerana dia ialah pekerja tertuduh.

“Tengku Adnan ialah bosnya dan dia pasti akan memberi keterangan memihak kepada tertuduh,” katanya di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Beliau berkata, pihak pembelaan mendakwa Tengku Adnan mendahulukan wang itu kepada Umno untuk membiayai kempen PRK, tetapi tiada bukti ia datang daripada RM2 juta itu.

“Kami anggap tertuduh mengambil wang itu menggunakan helah sumbangan politik, tetapi ia untuk manfaat dirinya.”

Julia berkata, tiada pertikaian tertuduh menerima wang itu ketika memegang jawatan awam sebagai ahli Parlimen dan menteri Wilayah Persekutuan di bawah kerajaan Barisan Nasional terdahulu.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terletak di bawah bidang kuasa kementerian itu yang diketuai dari 2013 hingga Mei 2018.

Beliau berkata, Tengku Adnan tahu mengenai pelakuan jenayah itu kerana dia mempelawa beberapa syarikat yang Chai berminat untuk menyertai pembinaan rumah bagi golongan miskin dan memerlukan di Kuala Lumpur.

“Permohonan untuk menyertai projek itu diserahkan sendiri oleh Chai kepada tertuduh,” katanya sambil menambah Tengku Adnan turut mengarahkan pegawai DBKL menjual tanah dan meluluskan permohonan lain bagi projek perumahan bermula.

Julia berkata, tertuduh turut memalsukan sekeping resit bagi RM2 juta itu selepas dia ditahan SPRM tahun lalu.

Peguam, Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, berkata sumbangan politik bukan satu jenayah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“Ini ialah kes ujian. Pemimpin di dalam dan luar kerajaan akan disiasat di bawah peruntukan itu,” katanya sambil menambah Chai sendiri mengakui dia sentiasa menyumbang wang kepada kerajaan dan parti pembangkang.

Zaini menetapkan 14 Okt untuk menentukan sama ada Tengku Adnan perlu membela diri atau dilepaskan, jika pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Saya tidak akan tergesa-gesa membuat penghakiman dan akan meneliti penghujahan sebelum membuat keputusan.”

Aset Kayamas ditubuhkan Chai pada 2011 dan menguruskan projek pembangunan rumah.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa menerima RM2 juta daripada Chai, melalui sekeping cek yang dimasukkan ke satu akaun bank milik Tadmansori Holdings.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasiti penjawat awam, iaitu menteri Wilayah Persekutuan di Bank CIMB cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.