Penguasa juga tak boleh atasi undang-undang, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini bercakap mengenai kedaulatan undang-undang, mengatakan beliau sering ditanya adakah Putrajaya tidak nampak isu yang lebih besar atau tidak nampak hakikat yang dihadapi rakyat.

“Kalau batu asas kedaulatan undang-undang bermakna tiada orang mengatasi undang-undang, tidakkah kita tunjuk pada dwi-standard seperti yang dikatakan dalam Animal Farm tulisan George Orwell ‘semua haiwan sama, tetapi ada haiwan lebih tinggi dari yang lain.?

“Adakah kita dengar dengan sungguh-sungguh dakwaan mengatakan kuasa yang mengisytiharkan semua rakyat sama juga memberikan kuasa dan keistimewaan kepada sekumpulan elit?” katanya dalam ucapan 16 halaman di persidangan undang-undang perlembagaan antarabangsa anjuran Law Association for Asia and Pacific (Lawasia).

Beliau berkata kedaulatan undang-undang mesti terpakai pada mereka yang berkuasa dan mereka patut dipertanggungjawabkan jika ada tanda-tanda tindakan yang tidak dibenarkan.

Beliau berkata tiada orang terkecuali daripada undang-undang dan prinsip itu mesti dilindungi.

“Semua orang harus diberi layanan sama,” katanya, dan menambah aspek paling penting kedaulatan undang-undang adalah kebebasan asas dan hak warganegara dirumus dan dilindungi undang-undang, bukannya deklarasi perlembagaan yang abstrak.

Beliau menegaskan kedaulatan undang-undang tiada erti bagi orang yang kelaparan dan kanak-kanak yang tiada akses ke sekolah yang baik.

Anwar, pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, menyeru kaji diri kerana masih terdapat banyak janji-janji yang belum dipenuhi.

Beliau berkata PH harus dipuji kerana memperkenalkan reformasi tetapi menyoal adakah rasuah dibenteras tanpa gentar atau pilih kasih.

“Pembetulan segera biasanya untuk jangka masa pendek tetapi untuk memperbaiki kesalahan yang telah dilakukan selama beberapa dekad, ruang mesti diberikan agar kita dapat mengenakan penyelesaian jangka masa panjang,” tambahnya.

Reformasi institusi memerlukan penstrukturan ekonomi dengan memastikan pertumbuhan yang bertenaga, dengan pengagihan yang lebih adil dan saksama.

“Saya tidak maksudkan ekonomi pasaran bebas atau kapitalisme tanpa belenggu. Tidak sama sekali. Tetapi menerusi kebebasan peluang, termasuk kebebasan kepada akses kredit serta perlindungan ekonomi daripada kemiskinan,” kata ahli parlimen Port Dickson itu.