Polis KL tumpas sindiket judi atas talian didalangi warga China

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim (tengah) menunjukkan barang rampasan daripada sindiket judi atas talian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket perjudian atas talian antarabangsa yang didalangi warga China dan merampas barangan elektronik dianggarkan bernilai RM3.12 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, dalam 7 serbuan berbeza yang dilakukan dalam tempoh seminggu, polis berjaya memberkas 249 individu majoritinya warga China.

“Kebanyakan yang buat operasi judi atas talian ini adalah warga China. Kalau tidak diambil tindakan, mereka akan jadikan Kuala Lumpur sebagai pusat perjudian atas talian.

“Saya tegas dalam isu, walaupun ia disasarkan kepada warga China, saya tidak mahu mereka bertapak di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, tujuh sindiket yang dipercayai beroperasi antara sebulan hingga tiga bulan itu mampu memperoleh keuntungan RM825,000 sehari dan boleh menjangkau sehingga RM24.75 juta sebulan.

Mazlan berkata dalam operasi itu, polis menggempur empat kondominium terletak di Jalan Cheras, Jalan Ceylon dan Jalan Mayang Sari serta bangunan pejabat di Bangsar South, Jalan Kerinchi dan Jalan Desa Bahagia.

Jumlah keseluruhan rampasan adalah 129 unit komputer riba, telefon bimbit (1,436), modem (6), kad akses (5), tablet (3), router (1), komputer (185) dan wang tunai RM60,652

“Modus operandi mereka adalah gunakan kondominium mewah untuk beroperasi menjalankan judi atas talian.

“Sindiket ini menyewa premis dengan harga RM8,000 hingga RM23,000 sebulan. Mereka jalankan aktiviti ini secara tertutup, kalau hendak masuk ke rumah, memang sukar,” katanya.

Semua individu berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan dan disiasat bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(C) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959.

Menurut Mazlan, beliau sudah mengarahkan ketua polis daerah untuk melakukan serbuan di sekitar ibu kota, setiap hari bagi memastikan aktiviti ini dibanteras sepenuhnya.

“Saya beritahu orang ramai jangan duduk diam, beritahu pihak polis supaya kita dapat ambil tindakan. Setakat ini kita juga sudah panggil pengurusan kondo.

“Kita sudah maklumkan kepada pengurusan kondominium dan beritahu mereka apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh supaya tidak lakukan perkara menyalahi undang-undang,” katanya.