Polis siasat video viral penangkap anjing MPSJ

Tangkap layar rakaman video menunjukkan satu pasangan berdepan penangkap anjing MPSJ.

PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat satu klip video viral yang menunjukkan satu pasangan cuba menghalang beberapa kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menangkap seekor anjing secara ganas.

Jurucakap MPSJ ketika dihubungi FMT berkata, polis sedang menyiasat kejadian itu dan dia tidak dapat memberikan butirannya.

“Kita tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana sudah menyerahkan kes itu kepada polis. Mereka sedang menyiasat, jadi kami akan tunggu hasilnya.”

Video itu yang tersebar di Facebook dan WhatsApp, menunjukkan beberapa kakitangan MPSJ cuba menangkap seekor anjing dengan seorang lelaki cuba campur tangan, manakala seorang wanita merakamkan kejadian itu.

Lelaki itu menyebut nama Nabi Muhammad beberapa kali dan berkata dia menghormati nabi, tetapi seorang daripada kakitangan MPSJ itu kemudian menekannya ke sebuah kereta.

Wanita itu pula kedengaran memberitahu kakitangan MPSJ berulang kali yang anjing itu tidak menggigit kerana ia sedang meraung.

Seorang daripada kakitangan itu menjelaskan mereka hanya mengikut arahan pihak atasan dan menjalankan tugas, serta memberitahu lelaki itu boleh memfailkan aduan.

Dalam klip video itu, seorang daripada kakitangan berkenaan turut mengeluarkan kata-kata kesat dan memberi amaran kepada lelaki terbabit supaya berhati-hati dengan percakapannya selepas dia sekali lagi menyebut sesuatu berkaitan Islam.

Di akhir video itu, tangan pasangan terbabit dilihat mempunyai darah, tetapi tidak diketahui dari mana datangnya darah berkenaan.

Kerajaan Selangor dalam kenyataan hari ini memohon maaf atas kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, mereka kesal dengan tindakan kasar kakitangan MPSJ yang ditugaskan menangkap anjing, susulan peningkatan aduan mengenai anjing dan kucing liar baru-baru ini.

Dia mempertahankan prosedur penangkapan haiwan perlu dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan itu dan keselamatan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).

“MPSJ akan menjalankan siasatan ke atas kejadian ini dan saya berharap ia menjadi contoh kepada PBT lain supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.”

Katanya, beliau sudah menemui beberapa badan bukan kerajaan baru-baru ini untuk membincangkan isu anjing dan kucing liar serta mengkaji kaedah penangkapan bagi mengurangkan kesakitan atau kecederaan terhadap haiwan.

“Kerajaan negeri juga dalam proses menambah baik pusat penjagaan dan pengambilan haiwan di setiap PBT.”