Samirah masuk bilik terbakar beberapa kali, kata saksi

Saksi ke-12, Nur Rodal Ardes Amir ketika hadir memberi keterangan pada hari ke-7 perbicaraan kes bunuh CEO Cradle Fund.

SHAH ALAM: Saksi perbicaraan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi, tertuduh beberapa kali memasuki bilik yang terbakar dalam kejadian pada 14 Jun tahun lalu.

Saksi ke-12, Nur Ronal Ardes Amir yang juga bekas anggota polis berkata tertuduh, Samirah Muzaffar mengambil mata wang asing yang tidak diketahui nilainya.

Katanya, mata wang asing itu diambil daripada laci kabinet yang terletak berdepan dengan katil yang sudah hangus terbakar.

“Wang itu diambil ketika dia masuk kali kedua di dalam bilik itu. Selain ambil wang yang dimasukkan dalam satu beg bertangkai, tertuduh juga menemui segugus kunci pendua yang turut berada dalam laci kabinet itu.

“Dia (Samirah) berkata kepada saya, ini lah kunci ‘spare’. Macam mana saya mahu masuk, kunci dalam laci kabinet ini.

“Sebelum pergi ke arah laci kabinet, dia pergi ke meja di sebelah kanan katil dan ambil satu barang yang dikatanya milik Nazrin, sama ada jam tangan atau telefon bimbit tetapi dia letak semula kerana barang itu sudah rosak terbakar,” katanya ketika memberi keterangan pada hari ketujuh di depan Hakim Ab Karim Ab Rahman, hari ini.

Nur Ronal, bekas koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, dia membawa Samirah melihat mayat Nazrin ketika kali pertama wanita itu memasuki bilik tersebut.

Katanya, ketika berada di sisi mayat Nazrin, Samirah melutut dan menggoyangkan badannya ke arah depan dan belakang sambil memerhatikan suaminya dalam keadaan sugul dengan anggaran masa kira-kira 10 minit.

Katanya, ketika itu Samirah tidak menangis namun saksi tidak tahu sekiranya Samirah ada mengeluarkan perkataan kerana dia berada di belakang tertuduh.

“Kali ketiga Samirah mahu masuk ke dalam bilik untuk mengambil wang lagi, bomba tidak benarkan.

“Dia kemudian pergi ke dua bilik lain yang ada di aras sama tetapi hanya buka pintu bilik sahaja dan lihat keadaan bilik.

“Ketika itu dia seperti mengomel dan beritahu saya yang ada di belakangnya, dia kena kemas rumah sendiri kerana tiada pembantu rumah,” katanya.

Saksi itu berkata, ketika sampai di tempat kejadian, dia melihat tangan Samirah berdarah dan dimaklumkan kecederaan itu berlaku kerana tertuduh mahu membuka pintu bilik yang terbakar.

“Apabila sampai, saya jumpa tertuduh di ruang makan, nampak tangan dia berdarah dan dia beritahu luka ketika cuba membuka pintu bilik (terbakar).

“Saya lihat wajah dia tak nampak sedih, tak menangis sebab tak ada air mata cuma gelisah mahu ke atas (bilik terbakar),” katanya.

Saksi sama turut memberitahu mahkamah, dia juga melihat seorang remaja kurus dan tinggi, berusia dalam lingkungan belasan tahun yang dicamkan sebagai tertuduh kedua, naik beberapa kali ke bahagian atas rumah.

Katanya, ketika naik kali pertama, remaja berkenaan membawa turun baju dan lampin pakai buang bayi.

Samirah yang merupakan bekas eksekutif kanan sebuah syarikat bersama dua remaja dituduh membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018 di kediaman mereka di Mutiara Damansara.

Ketika ini, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang juga disyaki terlibat dalam pembunuhan itu masih bebas.

Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh pihak timbalan pendakwa raya, Wan Shahida Wan Omar meminta Nur Ronal menjelas keadaan Samirah ketika kali pertama dibenar memasuki bilik untuk melihat mayat suaminya.

Ronal berkata, keadaan Samirah pada waktu itu dalam keadaan sugul dan melutut melihat ke arah mayat suaminya.

“Tidak dengar (suara menangis), jangkaan masa lebih kurang 10 minit OKT melutut, lepas 10 minit, anggota bomba minta saya bawa turun OKT ke bawah,” katanya merujuk orang kena tuduh iaitu Samirah.

Wan Shahida kemudian terus menyoal Nur Ronal bagaimana dia mengetahui wang tersebut wang asing.

“Saya nampak, kemudian tertuduh masukkan barang yang diambil dalam beg kain,” katanya.

Perbicaraan akan bersambung pada 8 Nov depan di mana Muhammed Shafee Abdullah selaku peguam mewakili tertuduh akan melakukan sesi soal balas terhadap Nur Ronal.