Saya sedia dedah laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin dalam sesi soal jawab sempena Persidangan Lawasia di Petaling Jaya hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia mendedahkan laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), tetapi perlu mendapatkan persetujuan daripada semua parti dalam Pakatan Harapan terlebih dahulu.

IRC ditubuhkan untuk mengkaji pembaharuan ke atas agensi kerajaan penting yang menjadi subjek kontroversi politik.

Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya antara agensi yang dikaji semula.

Mahathir ditanya mengenai perkara itu oleh bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dalam sesi soal jawab di Persidangan Lawasia di sini, hari ini.

“Jika anda tanya saya, saya akan dedahkan, tetapi saya bukan ejen bebas, saya ada orang lain (yang perlu dipertimbangkan). Kena ingat kami (PH) ada lima parti dalam kerajaan dan setiap satu ada agenda mereka tersendiri.

“Jika saya mahu amalkan demokrasi, saya perlu runding dengan mereka dulu. Ia bergantung pada muafakat yang kami capai.

“Tapi, sudah tentu, saya suka jadi popular. Kalau kamu mahu saya dedahkan, saya akan dedahkan,” kata perdana menteri.

Ambiga meminta Mahathir mempertimbangkan pendedahan laporan itu untuk mendapat maklum balas orang ramai.

“Lagipun, kami cukup bijak mengundi kamu. Saya rasa orang awam cukup bijak untuk memberikan maklum balas yang sepatutnya. Tolong siarkan laporan IRC.”

Nov tahun lalu, Bersih 2.0 menggesa Mahathir mendedahkan laporan itu kerana keyakinan rakyat terhadap PH akan terhakis jika kurang ketelusan dan akauntabiliti.

Pada Ogos 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, rundingan akan diadakan dengan pihak berkepentingan dan pakar sebelum laporan itu didedahkan kepada umum.

IRC menyerahkan laporan akhirnya kepada Majlis Penasihat Kerajaan dan Jabatan Perdana Menteri pada Julai 2018.

Jawatankuasa itu yang dianggotai lima pemimpin dan pakar dalam pelbagai bidang, turut memberi taklimat kepada Mahathir pada 19 Julai lalu mengenai cadangan yang terkandung dalam laporan akhirnya.