5 Okt Hari Akademia, Malaysia lakar sejarah

Difahamkan Malaysia negara pertama memutuskan untuk mengadakan sambutan Hari Akademia.

PETALING JAYA: Sejak hampir lima dekad, setiap tahun negara mengadakan sambutan Hari Guru kebangsaan pada 16 Mei bagi menghargai pendidik peringkat sekolah rendah dan menengah.

Bagaimanapun satu lagi kumpulan pendidik, yang dikenali sebagai pensyarah, seolah-olah dilupakan. Ada cakap-cakap mereka tidak dihargai sebagai golongan pendidik.

Justeru, bagi menghargai sumbangan kumpulan akademia institut pendidikan tinggi (IPT), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan mengisytiharkan 5 Okt bersempena dengan Hari Guru Sedunia Unesco, bermula hari ini sebagai Hari Akademia Malaysia.

Difahamkan Malaysia merupakan negara pertama mengadakan hari khusus bagi menghargai sumbangan komuniti akademia. Sambutan ini akan merangkumi sekitar 70,000 tenaga pengajar IPT termasuk pusat latihan, kolej dan politeknik.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Siti Hamisah Tapsir memberitahu FMT, 5 Okt akan dijadikan sebagai hari sambutan menghargai sumbangan ahli-ahli akademik, tidak kira IPT swasta mahupun awam.

“Menteri Pendidikan telah bersetuju dengan tarikh 5 Okt dijadikan Hari Akademia, dan akan diabadikan sebagai hari khusus untuk menghargai sumbangan pensyarah kepada negara dan masyarakat.” Beliau menyifatkan sambutan hari ini, yang akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, akan menjadi detik bersejarah bagi dunia pendidikan tinggi negara.

Siti Hamisah Tapsir.

Kata beliau, memandangkan Hari Guru Antarabangsa disambut pada 5 Okt, maka “kami memutuskan untuk mengadakan Hari Akademia di Malaysia pada 5 Okt.”

Menurut beliau, sambutan Hari Akademia akan merangkumi tenaga pengajar politeknik, institut perguruan, kolej dan universiti awam dan swasta.

Universiti Malaya (UM), pusat pendidikan tinggi tertua di Malaysia, dipilih sebagai tuan rumah buat julung kalinya.

Pada Mac yang lalu, Maszlee mengumumkan 5 Okt akan dijadikan Hari Akademia bagi menghargai jasa pensyarah dah ahli akademia.

Mengulas sambutan bersejarah ini, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Aini Ideris, antara tenaga akademik yang telah lama berkhidmat, menyambut baik keputusan mengadakan Hari Akademia.

“Hari akademia satu bentuk pengiktirafan negara kepada golongan pendidik di semua peringkat termasuk pendidikan tinggi. Ia amat bermakna kepada semua ahli pendidik termasuk guru dan pensyarah yang mana jasa serta pengorbanan mereka dihargai,” kata beliau kepada FMT.

Di UPM kata beliau, Bulan Pensyarah telah menjadi acara tahunan sejak tahun 2008.

“Mulai tahun 2018 ia dijenamakan semula menjadi sambutan Minggu Pendidik bagi melestarikan peranan pendidik (pensyarah dan guru) sejajar dengan aspirasi ‘Akademia Baharu’.

“Program Minggu Pendidik UPM sarat dengan aktiviti intelektual bagi meraikan dan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan para akademik universiti,” kata beliau.

Timbalan Presiden Majlis Persatuan Akademi Malaysia (MAAC), Normaly Kamal Ismail melihat pengisytiharan Hari Akademia Malaysia sebagai satu penghargaan untuk komuniti akademia negara ini.

“Ini satu penghargaan buat pensyarah dan telah secara rasmi diterima oleh kerajaan, diiktiraf oleh kerajaan,” kata beliau.

Katanya MAAC telah lama membincang dan memperjuangkan perkara ini.

“Jadi kami pun jumpa dengan Maszlee, dan beliau juga mempunyai idea yang sama. Kini secara rasmi ia diterima… satu kejayaan besar,” kata beliau.

Ketua Sekretariat Sambutan Hari Guru Sedunia Unesco, Zuwati Hasim berkata dengan kerjasama Institut Kepimpinan Pendidikan, Pusat Dialog Peradaban, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Persatuan Akademik UM dan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia telah mengadakan sambutan Hari Guru Sedunia sejak 2017 dengan sokongan Education International dan Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia.

“Dan, mulai tahun ini pada setiap tahun, 5 Okt diisytiharkan sebagai Hari Akademia peringkat kebangsaan,” kata beliau yang gembira dengan pemilihan UM sebagai tuan rumah oleh Kementerian Pendidikan.