Alamak… Dah pakai deodoran tapi kenapa ketiak masih berbau?

Siapa yang tidak mempunyai masalah ketiak berbau? Sekali dalam hidup pasti semua orang akan berdepan dengan masalah ini.

Diakui masalah ini pastinya akan membuatkan anda hilang keyakinan diri, walaupun secara hakikatnya hampir kebanyakan individu pasti pernah berdepan dengan situasi seperti ini.

Keadaan ini adalah termasuk dalam masalah badan berbau yang secara istilah teknikalnya dirujuk sebagai bromhidrosis dan ia bukanlah satu masalah yang mendatangkan kebimbangan berkaitan masalah kesihatan.

Kombinasi peluh dan bakteria pada permukaan kulit anda akan menyebabkan wujudnya bau.

Inilah yang dipanggil sebagai bau badan atau B.O untuk body odor. Itu jugalah keadaan yang berlaku kepada bahagian ketiak anda.

Bagaimana ia berlaku?

Umumnya, badan dipenuhi dengan kelenjar peluh dan ia mempunyai fungsi penting untuk menyejukkan suhu badan.

Terdapat dua kelenjar peluh di dalam badan iaitu ekrin (eccrine) dan apokrin (apocrine).

Kelenjar peluh ekrin terdapat di seluruh badan dan terbuka pada permukaan kulit.

Bagi kelenjar peluh apokrin pula berada di kawasan yang mempunyai folikel rambut kulit kepala dan bahagian ketiak.

Berbeza dengan kelenjar ekrin yang terbuka, kelenjar ini lebih bersifat lemak dan cenderung untuk berbau.

Fungsi kelenjar

Apabila suhu badan anda meningkat, kelenjar ekrin akan mengeluarkan peluh untuk menyejukkan badan.

Kebiasaannya ia tidak mengeluarkan bau, kecuali bakteria pada kulit mulai “pecah”.

Malahan terdapat sesetengah makanan dan minuman yang diambil serta ubatan tertentu boleh menyebabkan peningkatan pengeluaran peluh.

Manakala kelenjar apokrin bekerja di bawah tekanan dan meremberkan cecair tidak berbau.

Namun, bau akan mula terhasil apabila ia bersentuhan dengan bakteria pada permukaan kulit.

Kedua-dua kelenjar ini biasanya akan mula berfungsi apabila melangkah ke alam akil baligh.

Berpeluh adalah sesuatu yang normal. Tetapi terdapat individu yang berpeluh lebih daripada biasa dan keadaan ini dipanggil hyperhidrosis.

Individu dengan masalah ini akan mengalami peluh secara berlebihan terutama pada bahagian tangan, kaki serta ketiak.

Jika anda merasakan anda mungkin menghidapi hyperhidrosis, doktor akan menjalankan beberapa ujian untuk mengesahkan diagnosis dan memberikan rawatan yang sewajarnya kepada anda.

Deodoran vs ketiak berbau

Kembali kepada pemasalahan utama kita, kenapa ketiak masih berbau walaupun sudah memakai deodoran?

Berikut adalah beberapa kesilapan yang boleh menyebabkan timbulnya bau yang tidak menyenangkan daripada ketiak anda.

1. Memakai deodoran biasa

Deodoran biasa adalah sesuai untuk kegunaan harian biasa.

Tetapi apabila anda bersenam, badan akan berpeluh dengan kuat.

Ia satu perkara yang, tetapi dalam masa yang sama sudah tentu ia mengeluarkan peluh yang lebih banyak.

Jadi anda mungkin perlu sediakan deodoran khas untuk bersenam.

2. Mandi terlalu kerap

Saintis mengatakan kekerapan mandi boleh menyebabkan bau anda menjadi lebih teruk.

Menurut ahli dermatologi Richard Gallo, “Bakteria baik menggalakkan kulit untuk menghasilkan antibiotik untuk membunuh bakteria yang tidak baik. Namun, apabila kerap mandi, terutama dengan menggunakan sabun yang kuat (pH terlalu tinggi) ia akan menyingkirkan bakteria baik ini.”

3. Bergantung kepada wangian

Menutup dan menyingkirkan bauan adalah tidak sama.

Malahan bahan kimia yang terdapat dalam sesetengah wangian berkemungkinan boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit dan membunuh bakteria baik yang membantu anda untuk berbau lebih baik secara semula jadi.

4. Peluh atau bau

Berpeluh adalah fungsi detoks semula jadi badan dan keadaan ini sebenarnya menjadikan badan anda berbau dengan lebih baik untuk tempoh jangka masa.

Dan produk yang menghalang anda daripada berpeluh seperti aluminum-filled antiperspirants, boleh melemahkan kelenjar ekrin dan mengakibatkan anda lebih berbau dari masa ke masa.

5. Perlindungan sepanjang hari

Pastinya anda pernah melihat label “perlindungan sepanjang hari” dan anda merasakan ia boleh melindungi anda daripada bau untuk tempoh yang lama.

Namun sebenarnya ia adalah bergantung kepada jumlah peluh anda.

Kebanyakan deodoran hanya mampu bertahan untuk tempoh beberapa jam.

Jadi apa yang boleh disimpulkan di sini, memakai deodoran tidak bermakna ketiak anda tidak akan berbau.

Penjagaan kebersihan badan yang betul dan cara pemakaian serta jenis deodoran turut memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah ketiak yang berbau.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]