Azmin: Peranan korporat penting capai 30% ekuiti Bumiputera

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata penyertaan daripada korporat Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah penting dalam meningkatkan peratusan ekuiti daripada kedua-duanya.

KUALA LUMPUR: Sasaran 30% pemilikan ekuiti korporat oleh Bumiputera sekali lagi diletakkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) tetapi ia memerlukan sambutan syarikat korporat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, penyertaan daripada korporat Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah penting dalam meningkatkan peratusan ekuiti daripada kedua-duanya.

“Pemilikan ekuiti Bumiputera bukan sahaja tidak mencapai sasaran tetapi ia telah menurun kepada 16.2% peratus (pada 2015) daripada 23% pada 2011 manakala pemilikan ekuiti oleh bukan Bumiputera juga telah menurun kepada 30.7% pada 2015 berbanding 34.8% pada 2011 dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3%.

“Ini adalah hasil daripada polisi kerajaan sebelum ini yang tidak cermat sehingga proses liberalisasi itu berlaku secara tergesa-gesa dan memberikan impak kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran WKB2030 di sini.

Sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sebelum ini telah diletakkan di bawah dasar Ekonomi Baru (DEB) bagaimanapun ia tidak tercapai.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan terus mendapatkan pelaburan langsung asing yang lebih besar ke dalam negara di sektor baru termasuklah aeroangkasa, ekonomi digital dan data raya.

“Rakyat Malaysia, khususnya, golongan belia perlu bersedia untuk menerima pakai teknologi ini.

“Kita mungkin perlu mengkaji beberapa inisiatif yang diambil oleh kerajaan terdahulu untuk diliberalisasikan, mungkin kita belum bersedia untuk itu (beberapa dasar), mungkin masanya tidak tepat… kita tidak tahu, jadi kita perlu kaji apa yang telah dilakukan dan yang telah berlaku pada masa lepas.

“Sudah pasti, matlamatnya adalah untuk memastikan penyertaan tempatan sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera akan dipertingkatkan di bawah WKB2030,” jelasnya.

Beliau berkata kerajaan turut melihat kepada keperluan untuk membetulkan polisi-polisi dan memperkenalkan dasar-dasar baru supaya kemakmuran negara ini dapat dikongsi bersama dengan semua rakyat.

Katanya ia penting untuk menjamin kestabilan dan keharmonian rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kumpulan etnik.

“Walaupun WKB2030 akan dilaksanakan secara rasmi pada 2021 sehingga 2030, tetapi semangat WKB akan dimasukkan dalam Belanjawan (2020) akan datang, yang akan diumumkan pada 11 Okt.

“Jadi semasa tempoh peralihan, kita akan dapat melihat kemajuan WKB ini dan apabila kita sampai pada tahun 202,1 kita sudah bersedia sepenuhnya bagi mencapai sasaran penuh untuk tempoh 10 tahun akan datang.”

Ditanya mengenai sasaran kerajaan untuk mencapai keluaran dalam negara kasar RM3.4 trilion menjelang 2030, Mohamed Azmin berkata selagi negara boleh mencapai pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga lima peratus setiap tahun, Malaysia berada di landasan yang betul.