Cuepacs: UMT-UniSZA tidak boleh duduk sama

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kepada kerajaan, khususnya Menteri Pendidikan Maszlee Malik supaya hasrat menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak diteruskan.

Presidennya, Azih Muda berkata dua universiti di Terengganu itu mempunyai matlamat yang berbeza, selain proses penggabungan itu akan mengecilkan lagi bilangan universiti yang ada dalam negara ini.

“Semua orang tahu, UniSZA lebih berorientasikan keagamaan walaupun hari ini ia telah beralih kepada subjek yang lain seperti perubatan dan teknologi, manakala UMT adalah cawangan yang asalnya daripada Universiti Putra Malaysia untuk mengkaji maritim dan hidupan laut.

“Jadi, sebab itulah dengan dua matlamat berbeza ini, ia tak boleh duduk bersama,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada gabungan-gabungan universiti, termasuk wakil daripada kesatuan sekerja UMT dan UniSZA di Wisma Cuepacs semalam.

Menurut Azih, bukan sahaja Cuepacs tetapi semua warga kedua-dua universiti itu membantah sekeras-kerasnya akan cadangan penggabungan itu.

“Kami kesal dengan pucuk pimpinan universiti yang membuat keputusan begitu cepat, tanpa mengambil kira sensitiviti warganya termasuk kakitangan dan penuntut.”

Susulan itu, Azih berkata pihaknya dalam perancangan untuk berjumpa dengan Maszlee dalam masa terdekat, untuk menyerahkan satu nota berhubung isu penggabungan ini.

Sebelum ini, dilaporkan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA, dan persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 Sept lepas.

Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar serta wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan, bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan.