Hujah Dr M pertahan lompat parti silap, kata pemimpin DAP

Ahli Parlimen Tasik Gelugor Ramkarpal Singh.

PETALING JAYA: Pandangan perdana menteri bahawa perbuatan lompat parti boleh diterima sekiranya ia dilakukan dengan tujuan baik adalah “dikesali”, kata seorang pemimpin DAP pusat.

Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh berkata perbuatan melompat parti menggalakkan tingkah laku yang jelek dan tidak seharusnya dipertahankan.

“Jelas terdapat beberapa keputusan mahkamah yang mendapati melompat parti tidak salah dari segi undang-undang kerana ahli politik mempunyai kebebasan untuk menyertai mana-mana parti yang diingini.

“Perlu perlu diingat bahawa semua wakil rakyat dipilih oleh pengundi, terutamanya kerana parti yang diwakili mereka, bukan sebagai individu,” kata Ramkarpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor.

Pada sesi soal jawab di luar persidangan Lawasia di sini semalam, Dr Mahathir Mohamad berkata, lompat parti dalam kalangan anggota parti politik patut dibenarkan sekiranya ia dilakukan dengan tujuan baik.

Katanya, undang-undang yang tegas menghalang lompat parti tidak akan menyuburkan kerajaan yang baik kerana ahli sesebuah parti yang tidak berpuas hati tidak mempunyai pilihan selain kekal dalam parti tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Ramkarpal juga berkata, jika seseorang wakil rakyat kecewa dengan parti yang diwakilinya, “langkah bermoral yang harus diambilnya ialah meletakkan jawatan dan menjelaskan perkara itu dalam pilihan raya kecil.”

“Terserah kepada pengundi untuk membuat keputusan sama ada wakil rakyat itu layak dipilih semula.”

Katanya, tidak lama selepas pilihan raya umum tahun lepas telah berlaku beberapa kes lompat parti.

Tidak mungkin berlaku wakil rakyat terbabit tiba-tiba berasa tidak berpuas hati dengan parti yang diwakili, sedangkan sebelum itu mereka tidak berdepan masalah untuk menyokong dan mempromosikan parti yang sama.

“Hakikatnya perbuatan melompat parti di negara ini berlaku kerana pertimbangan politik dan tidak ada kena-mengena dengan kekecewaan pelompat parti ini dengan arah tuju bekas parti mereka.

“Kerajaan sepatutnya mempunyai keazaman politik untuk memperkenalkan pindaan yang perlu ke atas perlembagaan bagi menjadikan perbuatan melompat parti satu kesalahan, selain memperkenalkan undang-undang antilompat parti dalam undang-undang,” katanya.

Ramkarpal berkata, walaupun beberapa negeri memperkenalkan undang-undang anti lompaty parti, seperti Pulau Pinang pada 2012, undang-undang negeri adalah tertakluk kepada perlembagaan persekutuan dan tidak sah.

“Lompat parti jelas tidak berprinsip dan langkah perlu diambil bagi menghalang amalan sedemikian atas nama kerajaan baik,” katanya.