Dr M: Wawasan 2020 gagal kerana tiada kesungguhan pemimpin terdahulu

Dr Mahathir berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilancarkan hari ini adalah lebih baik daripada Wawasan 2020 kerana ia meliputi semua golongan dengan keutamaan diberikan kepada golongan miskin.

KUALA LUMPUR: Wawasan 2020 tidak dapat dicapai kerana tiada usaha serius untuk melaksanakannya sepanjang 15 tahun lalu oleh kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat wawasan itu, sebaliknya tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan atau gaji yang tinggi.

“Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju, tetapi 15 tahun ke belakang ini, tiada usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada pendapatan tinggi.

“Ia dilakukan dengan cara beri wang, gaji tinggi, BR1M dan sebagainya supaya rakyat mendapat sesuatu. Ia bukan usaha mereka, tapi melalui pemberian kerajaan,” kata yang memperkenalkan Wawasan 2020 pada 1991 dan bersara dari jawatan perdana menteri pada 2003.

Wawasan 2020 dilancarkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Keenam. Ia merupakan wawasan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian maju menjelang 2020, dan meliputi semua aspek kehidupan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mahathir berkata apabila kerajaan menghentikan bantuan sebegitu, mereka yang menerima bantuan sebelum itu terus “menjadi miskin”.

“Sebaliknya kali ini dalam WKB2030, kita akan memberi latihan supaya mereka diberi peluang dan urus peluang sehingga mereka mencapai kejayaan,” katanya.