Guna pengaruh politik bela nasib rakyat, kata Anwar

Anwar Ibrahim disambut Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Intan Perdana ketika membuat lawatan rasmi ke sekolah itu hari ini. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Dalam berpolitik, gunakan pengaruh yang ada untuk mencari sesuatu yang dapat disumbangkan kepada rakyat, bukannya mengaut keuntungan bagi diri, apatah lagi terlibat dengan rasuah, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perkara itu tidak mustahil dilakukan sekiranya semangat Addabani Rabbi dapat diterapkan dalam diri dan setiap perkara yang dilakukan.

“Rasulullah dalam hadis baginda mengungkapkan Addabani Rabbi Faahsana Ta’dibi bermaksud Tuhanku didiklah aku dengan didikan yang terbaik dan sekiranya kita tercerna dari semangat Addabani Rabbi ini, maka kita tidak akan cenderung ke arah politik sempit, mengadu domba dan perkauman, termasuk rasuah, maka kita akan dapat gunakan (pengaruh) untuk membela nasib rakyat.

“Sebab itu saya selalunya akan pastikan setiap pelabur yang datang, saya akan cari jalan untuk dapatkan peruntukan daripada mereka yang boleh disumbangkan semula kepada rakyat, sebagai contoh komputer untuk semua sekolah di Port Dickson…daripada ambil duit untuk komisen dan rasuah yang sudah jahanamkan negara, lebih baik gunakan pengaruh kita bantu rakyat.”

Beliau berkata demikian semasa melawat Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini, hari ini dan menyampaikan peruntukan tambahan RM720,000 daripada Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membina bumbung sekolah itu.

Anwar berkata, ada sebauh syarikat besar akan membangunkan sebuah hotel bertaraf enam hingga tujuh bintang di Port Dickson, tetapi pembangunan itu perlu memanfaatkan rakyat bukan saja dari segi peluang pekerjaan, tetapi kemudahan yang boleh dinikmati bersama rakyat.

“…tidak salah bangunkan pelancongan di Port Dickson, tetapi rakyat juga harus dapat manfaatnya, takkan rakyat tengok saja hotel yang mahal-mahal ini? Maka pihak hotel bercadang bina taman tema bersebelahan hotel yang dibuka kepada orang awam dengan kadar bayaran lebih murah.

“Saya juga ada minta daripada pihak hotel berikan latihan kepada anak muda di Port Dickson kerana hotel ini perlukan pekerja segera 400 orang dan apabila siap, mereka perlukan 600 pekerja dengan kemudahan perumahan pekerja juga akan dibangunkan…ini apa yang dipersetujui pihak hotel.”

Beliau berkata, pihaknya turut meminta sebuah syarikat elektronik dan IT terbesar di Jepun menyumbang kepakaran mereka kepada sebuah sekolah menengah di Port Dickson yang akan menjadi anak angkat kepada syarikat itu.

“Saya tidak minta komisen daripada dia (syarikat), tidak minta komputer untuk diri sendiri, tetapi saya minta sebuah sekolah menengah di Port Dickson dijadikan anak angkat dan pemilihan sekolah ini masih di peringkatkan penilaian.”