Individu di sebalik protes Hindraf 2007, impi kemunculan ‘Abraham Lincoln Melayu’

P Uthayakumar berkata, orang India tidak mempunyai pengaruh politik di Malaysia dan memerlukan seorang penyelamat daripada kelompok majoriti.

PETALING JAYA: Lebih tiga dekad lalu, P Uthayakumar, pelajar jurusan undang-undang dari Malaysia ketika, berarak di London Bersama beberapa ratus orang muda lain membantah dasar apartheid di Afrika Selatan – detik penting yang mengubah semangat perjuangan beliau, impaknya dapat dirasai sehingga ke hari ini.

Ketika itu 1984 dan protes membantah pemisahan kaum majoriti kulit hitam oleh minoriti kulit putih di Afrika Selatan mendapat sambutan meluas.

Terkejut, Uthayakumar mendapati majoriti besar kumpulan yang berarak bersama-samanya bagi menamatkan “pemerintahan kulit putih” merupakan orang kulit putih sendiri.

“Itulah masyarakat madani, masyarakat beradab,” katanya kepada FMT.

“Ia merupakan konsep yang sering disebut oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.”

“Namun di sini, keadaannya berbeza. Masyarakat mengutamakan kaum, termasuk golongan elit India sendiri,” kata beliau dan menambah, di Malaysia, orang India berada pada kedudukan kuasa yang rendah.

Uthayakumar merupakan antara tokoh utama pada hari-hari awal gerakan Badan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang mendapat perhatian dunia berikutan perhimpunan yang diadakannya di Kuala Lumpur pada 2007.

Sepanjang 28 tahun lepas, Uthayakumar memberi tumpuan kepada isu keganasan polis dan kematian dalam tahanan.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa adalah orang India dan justeru keadaan itu, ia kurang mendapat perhatian.

Merujuk kepada insiden terbaru di Batu Arang, yang menyaksikan tiga suspek perompak mati ditembak oleh polis, peguam-aktivis itu berkata, ramai ahli politik, kumpulan hak asasi dan masyarakat sivil memilih untuk berdiam diri.

“Di negara ini, apabila mangsanya orang India, tiada siapa yang peduli. Di manakah pejuang Teoh Beng Hock?” soalnya, merujuk kepada pembantu ahli Dewan Undangan Negeri DAP yang terbunuh dalam keadaan yang masih dipertikaikan ketika ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Uthayakumar mewakili keluarga tiga lelaki dalam kes Batu Arang yang menimbulkan kontroversi berikutan percanggahan maklumat tentang kejadian sebenar yang berlaku.

“Ketika menjadi pembangkang, ahli politik bercakap begini, tetapi apabila mereka menjadi kerajaan, cakapnya berubah.”

Beliau percaya tidak ramai ahli politik yang bersuara bagi pihak mangsa berketurunan India kerana mereka bukan majoriti dalam mana-mana kawasan Parlimen.

“Di Klang, Pandamaran, Pelabuhan Klang, terdapat lebih ramai orang India, tetapi mereka bukan golongan majoriti. Justeru mereka tiada suara pada aras politik paling tinggi,” katanya.

“Terdapat ramai orang India di Brickfields, tetapi ia dipecahkan kepada tiga kerusi.

“Oleh sebab itu, orang India terus berdepan dengan diskriminasi dalam isu kewarganegaraan, pekerjaan, perumahan dan seterusnya, dari lahir hingga mereka mati.”

Beliau pernah menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang kini diketuai oleh individu yang sangat dikenalinya, berhubung cadangan mewujudkan tujuh kawasan Parlimen dengan majoriti pengundi berketurunan India.

Uthayakumar bagaimanapun belum menerima apa-apa jawaban balas.

Katanya, beliau kurang yakin dengan kaedah sedia ada bagi mendapatkan keadilan, seperti inkues awam yang sering berakhir dengan keputusan terbuka.

Menurut beliau, cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis juga tidak membawa banyak makna sekiranya ia tidak diberikan kuasa pendakwaan.

Beliau percaya, hanya seorang “Abraham Lincoln Melayu” boleh menamatkan rasisme di Malaysia, merujuk kepada presiden Amerika Syarikat yang memperjuangkan hak masyarakat kulit hitam di negara tersebut.

Namun katanya, pada saat ini tidak ada sesiapa dalam landskap politik negara yang menepati ciri itu.

“Individu paling hampir yang saya nampak ialah bekas menteri Ahmad Husni Hanadzlah. Saya masih ingat beliau menyoal perasaan orang Melayu sekiranya tempat ibadat mereka dimusnahkan sebagaimana tempat ibadat orang India dimusnahkan. Malangnya beliau kini sudah tidak ada.”

Walaupun masih bersedia memberi khidmat guaman secara percuma, Uthayakumar mengakui beliau pesimis tentang masa depan.

“Masyarakat mudah teruja dengan isu seperti tulisan jawi dan Dr Zakir Naik, tetapi fokus sebenar saya adalah isu nyata yang memberi kesan ke atas orang India.

“Bagi saya tidak ada Malaysia Baru.”