Iraq tarik balik perintah berkurung, 72 maut protes antikerajaan

Kenderaan tentera Iraq meronda selepas pihak berkuasa menarik balik perintah berkurung hari ini. (Gambar Reuters)

BAGHDAD: Pihak berkuasa Iraq menarik balik perintah berkurung di Baghdad hari ini manakala angka kematian protes antikerajaan meningkat kepada 72 orang dan ratusan lagi cedera.

Keadaan trafik di ibu negara Iran normal hari ini dengan jalan dan dataran utama kelihatan tenang.

Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, badan separa rasmi di Iraq, berkata pasukan keselamatan telah menahan beratus-ratus orang tetapi membebaskan kebanyakan daripada mereka kemudian.

Pihak polis menembak ke arah penunjuk perasaan semalam, kata wartawan Reuters, peningkatan kaedah agresif digunakan pasukan keselamatan, termasuk peluru hidup, gas pemedih mata dan meriam air.

Pasukan keselamatan menuduh lelaki-lelaki bersenjata berselindung dalam kalangan penunjuk perasaan untuk menembak polis. Beberapa anggota polis turut terbunuh.

Bantahan terhadap pengagihan kerja tidak adil, mutu perkhidmatan yang rendah dan rasuah dalam kerajaan telah mencetuskan protes antikerajaan sejak Selasa lalu di Baghdad dan dengan cepat merebak ke bandar-bandar lain di Iraq, terutama di bahagian selatan.

Ini adalah krisis paling dahsyat disaksikan di Iraq sejak kekalahan kumpulan IS pada 2017 dan telah menjejaskan kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi.

Kerajaan telah bertindak balas dengan menjanjikan pembaharuan, yang masih belum jelas sama ada akan menenangkan rakyat Iraq atau sebaliknya.

Pemimpin Iraq berpengaruh, Moqtada al-Sadr, yang mempunyai ramai pengikut popular dan menguasai sebahagian besar kerusi parlimen, menuntut kerajaan berundur dan mahu pilihan raya umum segera diadakan. Sekurang-kurangnya satu lagi kumpulan dalam parlimen menyokong gesaan itu.

Parlimen dijadual bersidang hari ini untuk membincangkan tuntutan penunjuk perasaan. Blok Moqtad mahu memboikot sesi itu.