Kula mahu Perkeso lindungi semua bidang pekerjaan

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran

IPOH: Kementerian Sumber Manusia menyambut baik sekiranya terdapat mana-mana syarikat insurans ingin membuat caruman dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata Menterinya, M Kula Segaran.

Bagaimanapun perkara itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia dicarum oleh sebilangan besar ejen-ejen dan konsultan bagi sesebuah syarikat insurans dalam memastikan Perkeso tidak berdepan dengan sebarang kerugian.

“Ada dialog bersama konsultan insurans malam tadi yang ingin menyumbang kepada Perkeso, jadi saya beritahu kepada mereka jika semua ejen insurans dan konsultan sekali gus menyumbang kepada Perkeso kita sudi terima.

“Tetapi jika hanya sebilangan saja, kita rasa agak keberatan, ia disebabkan risikonya sangat tinggi.

“Jika terdapat 100 orang dan hanya 10 yang menyertainya, selebihnya hendaklah juga dilindungi agar kita boleh lindungi semua orang agar Perkeso tidak alami sebarang kerugian. Kita mahu perlindungan itu kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Utara Tahun 2019 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, hari ini.

Kula Segaran berkata demikian sebagai mengulas intipati sesi dialog bersama dengan 500 ejen Kumpulan Insurans Zurich dan Takaful yang dilaksanakan semalam di mana ada di antara perunding insurans meluahkan hasrat untuk menyumbang dengan Perkeso.

Menurutnya, beliau juga mengimpikan untuk melihat semua golongan pekerja di negara ini mencarum dengan Perkeso bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya jika dilanda musibah.

Katanya, ia perlu diperluaskan kepada bidang pekerjaan yang tidak dilindungi termasuk suri rumah dan penganggur.