Lelaki ditahan edar dadah bukan Orang Asli, tapi penyamar, kata NGO

Zaharudin Rasip (tengah) menunjukkan beg plastik berisi pil ecstacy bernilai RM420,000 yang dirampas dalam serbuan di Parit Bakar, Muar, Isnin lalu. Turut dirampas ialah syabu bernilai RM495,000. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) menafikan laporan seorang lelaki yang ditahan di Muar, Johor pada Isnin lalu kerana disyaki mengedar dadah ialah Orang Asli.

Pengerusi NGO Orang Asli itu, Dolah Tekoi berkata lelaki terbabit ialah warga Indonesia yang menyamar sebagai Orang Asli.

Katanya, suspek itu sebahagian daripada sekumpulan pendatang asing dari Indonesia yang bersembunyi di Bekok.

“Lelaki itu bukan Orang Asli dari perkampungan Orang Asli di sekitar Bekok, daerah Segamat, seperti yang disebut dalam media.

“JPOAJ ingin menyatakan tiada Orang Asli di Bekok yang bernama Awes Mes, malah nama ini mirip nama warga asing,” katanya kepada FMT hari ini.

Media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang dikatakan Orang Asli pada Isnin lalu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Aman, Parit Bakar, Muar yang turut membongkar sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan bernilai RM915,000.

Ketua Polis Daerah Muar, Zaharudin Rasip dilaporkan berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan hasil risikan dan serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar kira-kira 4 petang.

Dolah berkata, suspek itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan harapan bebas melakukan apa saja atas nama Orang Asli.

“Walhal, bagi Orang Asli sekarang, mereka sudah ada kad pengenalan sebagai pengesahan kewarganegaraan dan bukan hanya dengan membawa sekeping surat tok batin.

“JPOAJ mahu polis membetulkan kenyataan mereka mengenai hal ini dan menyiasat dengan terperinci kerana ia melibatkan dua kesalahan jenayah, iaitu mengedar dadah dan menjual kedaulatan negara oleh tok batin.”