Menangi RM80,000 dengan pertandingan filem pendek BMW Shorties

Dalam mendukung usaha bakat-bakat tempatan dalam dunia perfileman, BMW Shorties sekali lagi menganjurkan pertandingan filem pendek yang dibuka kepada semua lapisan masyarakat sehingga 11 Oktober ini.

Ini merupakan pertandingan kali kelima diadakan setelah melahirkan empat orang pemenang bertuah bagi pertandingan tersebut yang membawa pulang hadiah utama sebanyak RM50,000.

Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Amba berkata usaha tersebut adalah bagi memacu inovasi dunia masa kini dan BMW Shorties merupakan sebuah inisiatif yang dicetuskan untuk memberi inspirasi, meneroka dan mendukung bakat-bakat kreatif di Malaysia.

“Program tersebut mempunyai aspirasi dan cita-cita yang besar untuk melahirkan kerjaya serta peluang bagi bakat-bakat kreatif ini untuk menyumbang kepada pembangunan sebuah negara yang bersifat dinamik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, pihaknya turut berkata yang program tersebut mendukung industri kreatif yang menyaksikan pembikinan karya-karya yang hebat seperti “Mukhsin” oleh Yasmin Ahmad dan “Zombi Kampung Pisang” oleh Mamat Khalid.

“Imbauan ini menyuluh kejayaan cemerlang yang digarap oleh BMW Shorties selama ini. Kini, menerusi tahunnya yang ke-13, BMW Shorties berharap untuk terus mendorong warga Malaysia mengejar aspirasi mereka dalam bidang kesenian dan kreativiti, serta menyemai nilai penghargaan dan minat ke atas industri perfileman tanah air,” katanya lagi.

Bagi mereka yang ingin menyertainya, anda masih mempunyai peluang kerana BMW Shorties 2019 masih membuka penyertaan sehingga 11 Oktober 2019 pada jam 6:00 petang.

Maklumat lanjut mengenai BMW Shorties dan cara untuk menyertainya boleh didapati di laman web rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my atau laman Facebook rasmi BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties serta laman Instagram di www.instagram.com/bmwshorties

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]