Peguam negara: Pengkritik saya tak didakwa bukti lebih banyak demokrasi selepas PRU14

Peguam Negara, Tommy Thomas.

KUALA LUMPUR: Rakyat menikmati sistem demokrasi lebih meluas selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Dalam tempoh 16 bulan lepas, lebih banyak ruang diberikan kepada individu dan pengkritik kerajaan dan tidak ada keraguan lagi bahawa Malaysia tidak pernah mempunyai demokrasi sebaik ini yang memberi banyak ruang sejak zaman merdeka.

“Tempoh ini juga menyaksikan media sosial berkembang yang memberi ruang menyerang saya secara fizikal selama 16 bulan, tetapi belum ada seorang pun yang didakwa.

“Jadi, ini adalah bukti terbaik mengenai ruang yang diberikan,” katanya dalam ucapan penutup Persidangan Perlembagaan dan Keluhuran Undang-undang Lawasia 2019 hari ini.

Ditanya Presiden Lawasia, Christopher Leong pada sesi soal jawab mengenai kemajuan pemansuhan Akta Hasutan 1948, Thomas berkata, Jabatan Peguam Negara sangat menyokong pembaharuan dan akan melakukan yang terbaik.

“Apa yang telah kami lakukan, saya beritahu Parlimen sebaik kami mendapat arahan, kami boleh menggubalnya dalam masa beberapa hari. Kami mempercepatkan penggubalan apabila mendapat arahan dari Kabinet.

“Setakat ini, ia adalah proses umum. Saya tidak dapat memberitahu anda apa-apa tentang kemajuan proses perundangan kerana saya bukan sebahagian daripada lembaga.”

Pada 10 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata Akta Hasutan 1948 dijangka dimansuhkan tahun ini selepas kerajaan membuat keputusan dalam mesyuarat Kabinet untuk memansuhkannya dan sedang mengkaji pelbagai faktor untuk pelaksanaannya.