Pemilik tanah Kg Baru mahu jumpa menteri dapat maklumat terperinci

Kumpulan Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru mengadakan sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru (Pewaris) mahu menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bagi mendapatkan maklumat tepat dan terperinci mengenai situasi sebenar penjualan tanah di kawasan itu.

Setiausaha Pewaris, Zainuddin Ismail berkata kerajaan sewajarnya mengambil kira pendapat pemilik tanah dan bukan hanya melalui maklumat diperolehi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) daripada kajian soal selidik.

“Itu yang saya kata tadi, kerajaan tidak ‘refer’ pada penduduk. Dia dengar sebelah pihak, bila dengar sebelah pihak, maklumat pun tak betullah. Kami sendiri pun terperanjat dengan maklumat itu.

“Itu sebab kami betul-betul mahu pertemuan hati ke hati bersama menteri supaya kami boleh membuat pencerahan segala maklumat yang tidak betul ini dan meredakan ketegangan pada peringkat bawahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dakwaan kira-kira 90 peratus pemilik tanah Kampung Baru bersetuju dengan RM850 sekaki persegi yang ditawarkan kerajaan pada 2 Okt lepas tidak mewakili semua pemilik tanah itu.

Pada 2 Okt lepas, Bernama melaporkan Khalid sebagai berkata, PKB menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu dengan kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju tawaran RM850 sekaki persegi.

Semalam, Khalid bagaimanapun berkata, 90 peratus yang dimaksudkan itu adalah pemilik yang bersetuju menjual tanah mereka dan menerima Projek Pembangunan Kampung Baru, tetapi mahukan harga lebih tinggi.

Hari ini, Pewaris mencadangkan kerajaan mengaplikasi model usaha sama bagi membangunkan semula Kampung Baru melalui penglibatan pemilik tanah, kerajaan dan pemaju.

“Ini penting agar ketiga-ketiga pemain utama pembangunan itu boleh membuat ‘check and balance’ (semak dan imbang) untuk mengelakkan sebarang penyelewengan dan penipuan, di samping dapat memberi keyakinan kepada pihak bank menyediakan kemudahan pinjaman.”