Pengurusan kompetensi bakat akademia

Sumbangan kalangan akademia mencurahkan ilmu dan idea demi menyaksikan kemajuan negara sungguh bermakna dan mendapat pengiktirafan Jemaah Menteri.

Tanggal 18 September 2019 dalam mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk mengiktiraf tarikh 5 Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Akademia.

Ini merupakan sebahagian usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik dan kepimpinan di pelbagai peringkat pengajian termasuklah universiti awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (IPK) dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Agenda pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan semakin penting kerana negara pada hari ini sedang melalui satu arus perubahan yang besar dalam melahirkan insan yang berkualiti dari segi ilmu, nilai dan keupayaan memimpin.

Berasaskan agenda ini, kementerian melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi atau AKEPT telah merencanakan pendekatan secara kolaboratif untuk melaksanakan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat demi kelangsungan pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi.

AKEPT diberi amanah dan tanggungjawab dalam membangunkan satu sistem pengurusan bakat yang telus dan objektif bagi menjayakan agenda kepimpinan di universiti awam.

Oleh itu, model “Competency Based Talent Management” atau CBTM dibangunkan dalam melestarikan agenda pengurusan bakat kepimpinan institusi pendidikan tinggi negara.

Pengurusan bakat merupakan satu bidang khusus dalam menguruskan pekerja iaitu aset terpenting di dalam organisasi.

Model CBTM akan membantu universiti awam memberi tumpuan kepada kemahiran, pengetahuan dan ciri-ciri peribadi yang mempengaruhi prestasi kerja.

Model ini akan membolehkan warga universiti menilai keupayaan sendiri berbanding dengan keperluan jawatan dan mengenalpasti sebarang kekurangan dari segi kemahiran, pengetahuan dan peribadi.

Oleh itu, warga universiti dengan bantuan pihak pengurusan akan dapat mengenal pasti dan mengikuti program latihan dan pembangunan yang berkesan untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan prestasi kerja mereka.

Model kompetensi yang baik dan jelas akan membentuk program pembangunan selari dengan keperluan organisasi pada masa kini dan masa hadapan.

Model kompetensi yang holistik akan merangkumi peribadi yang diperlukan untuk memastikan kecemerlangan prestasi kerja dan juga membangunkan budaya kerja organisasi yang menyumbang terhadap pencapaian objektif strategik organisasi.

Dengan menggunakan model kompetensi, organisasi akan dapat mengenal pasti bidang dan program latihan yang mempunyai impak terhadap prestasi kerja dan perlu diberi penekanan supaya sumber terhad digunakan secara optimum.

Model kompetensi juga berupaya menggariskan siapa yang memerlukan kemahiran yang tertentu pada jadual masa yang ditetapkan sepanjang laluan kerjaya seseorang pekerja itu.

la akan memberi jaminan bahawa sebarang latihan dan pembangunan adalah berkait rapat dengan keperluan kerja dan individu tersebut.

Pendekatan seperti ini adalah lebih baik daripada sistem biasa di mana pekerja dihantar menyertai program latihan dan pembangunan diri tanpa mengambil kira sama ada program tersebut mempunyai kaitan dengan keperluan kerja atau keperluan individu tersebut.

Peningkatan “Profesionalisme Berterusan” juga menepati maksud pengurusan bakat sebagai suatu proses bersepadu dan berterusan dalam merancang keperluan, merekrut dan menambat modal insan berprestasi tinggi, dan memungkinkan mobiliti bakat terbaik ke segenap peringkat dan aras organisasi.

Dengan demikian setiap anggota organisasi dapat diposisikan pada kedudukan yang mengupayakan sumbangan dengan berkesan kepada organisasi, sekali gus mengembangkan potensi dirinya semaksimum mungkin.

Tema ini juga relevan kepada perspektif pelan penggantian yang menuntut kewujudan “critical mass” yang mengamalkan budaya prestasi tinggi, yang bukan sahaja berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab semasa, malah bersedia untuk mewarisi jawatan yang lebih tinggi, menerajui pasukan yang lebih besar dan memikul tanggungjawab yang lebih berat.

Matlamat ini adalah selari dengan tekad AKEPT untuk memperteguh sifatnya sebagai sebuah organisasi pembelajaran yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran baru.

Sebagai sebuah organisasi pembelajaran, AKEPT perlukan kumpulan pemimpin yang belajar sepanjang hayat dan dahagakan pengetahuan-pengetahuan terkini.

Mereka sentiasa memugar kemahiran-kemahiran baru bersifat responsif kepada perubahan dan sentiasa bersiap-siaga untuk menjuarai cabaran-cabaran masa hadapan.

Rumusannya, agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan institusi pendidikan tinggi perlu menyemarakkan lagi inisiatif-inisiatif yang berkait dengan kepimpinan institusi agar barisan pelapis dapat dikenal pasti di peringkat awal dan usaha pembangunan bakat kepimpinan institusi dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan holistik.

Bukan itu sahaja, agenda ini mempersiapkan pemimpin masa depan universiti tidak mati langkah untuk bersilat dengan cabaran Industri 4.0.

Nordin Yahya adalah pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.