Polis rampas rokok seludup bernilai RM16.3 juta

Rokok yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar Klang. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Enam lelaki tempatan dan dua warga Bangladesh ditahan dan dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM16 juta sekitar Klang, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua suspek berusia antara 26 dan 53 tahun ditahan bersama 97,650 karton rokok putih pelbagai jenama menerusi “Op Asap”.

“Bertindak atas maklumat orang awam, polis melancarkan operasi ke atas sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang.

“Turut dirampas empat buah kereta jenis pacuan empat roda Mitsubishi Triton, Toyota Vios, Perodua Myvi, empat buah lori, sebuah van dan tiga buah kontena,” katanya dalam kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM16.3 juta.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dan direman selama 12 hari mulai hari ini sehingga 15 Okt untuk siasatan lanjut, serta disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.