Putera Harry, isteri saman akhbar UK ‘membuli’

Putera Harry dan Meghan memulakan siri tindakan saman ke atas akhbar-akhbar di Britain. (Gambar AFP)

LONDON: Putera Harry memfailkan saman ke atas penerbit Sun, akhbar milik Rupert Murdoch dan Daily Mirror berhubung dakwaan mengintip telefon – sebahagian daripada tindakan kerabat diraja Britain itu dan isterinya, Meghan terhadap akhbar-akhbar tabloid.

Langkah Harry, Duke of Sussex, muncul beberapa hari selepas dia dan Meghan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang berbeza sebagai tindak balas terhadap apa yang disebutkan sebagai “membuli” oleh beberapa media British.

Harry salah satu sasaran dalam skandal penggodam telefon yang menggegarkan empayar akhbar Murdoch dan mendorong penutupan tabloid News of the World pada 2011.

“Tuntutan telah difailkan bagi pihak Duke of Sussex di Mahkamah Tinggi mengenai intipan mesej mel suara yang menyalahi undang-undang,” kata jurucakap Harry. Dia enggan memberi butiran lanjut mengenai tuntutan itu.

Jurucakap News Group Newspapers, penerbit The Sun mengesahkan tuntutan telah difailkan oleh Harry.

Dokumen mahkamah yang pertama kali dilaporkan oleh laman web Byline Investigates juga menunjukkan Harry menyasarkan akhbar Kumpulan Mirror, dimiliki Reach PLC (RCH.L), dengan tindakan undang-undang. Jurucakap Reach enggan mengulas.

Satu sumber yang biasa dengan perkembangan itu berkata prosiding telah dimulakan tetapi penerbit masih belum menerima notis undang-undang berkaitan dengan kes itu.

Pada hari Selasa, Harry berkata beliau dan Meghan akan mengambil tindakan undang-undang berasingan terhadap Mail pada Ahad atas penerbitan surat peribadi, dikatakan peguamnya menyalahi undang-undang.