Salah ke PAS, orang Melayu bersatu selesai masalah sendiri, Hadi tanya pengkritik

Abdul Hadi Wang ialah presiden PAS.

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa pihak yang mengkritik keputusan parti Islam itu menyertai Kongres Maruah Melayu esok sebagai Islamofobia.

“Salahkah orang Melayu bersatu bersama Islam bagi menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri?

“Tanya kepada diri mereka yang menentang atau tidak senang dengan usaha ini, sama ada terpalit dengan penyakit Islamofobia.

“Al-Quran adalah panduan kepada penganut Islam yang setia dan memberi petunjuk bahawa setiap rasul memulakan dakwah Islam dengan menyelamatkan kaum bangsanya dahulu,” tulisnya dalam catatan di Facebook malam ini.

Kongres Maruah Melayu anjuran bersama Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijadualkan bermula 8 pagi esok di Stadium Malawati, Shah Alam.

Penganjur dilaporkan berkata, kongres itu akan memberi perhatian kepada masalah orang Melayu dalam bidang pendidikan, agama, kebudayaan dan ekonomi.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dijangka menyampaikan ucaptama pada kongres itu yang akan turut dihadiri pemimpin PAS dan Umno.

Hadi berkata, ramai yang membidas PAS menyertai dua himpunan perpaduan bagi menyatukan orang Melayu, iaitu himpunan bersama Umno dan himpunan bersama ilmuwan serta badan bukan kerajaan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, alasan pertama mereka ialah semangat kebangsaan yang dikatakan bercanggah dengan Islam.

“Kedua, pihak yang menjadi penganjur dilihat berlaku pertembungan.

“Media PH yang setia kepada agenda perjuangan pragmatik atau oportunis tanpa berselindung mendedahkan pandangan pihak bukan Islam yang tidak senang dengan himpunan tersebut demi mendapat sokongan bukan Islam dan mengaburi mata umat Islam.”