Sistem pemantauan bertahap perlu bagi capai sasaran WKB2030, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata tiada apa yang boleh diagih kepada rakyat sekiranya pertumbuhan ekonomi negara perlahan dan menguncup.

KUALA LUMPUR: Semua strategi dan inisiatif di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) mampu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih pesat dan mengekal serta meningkatkan daya saing negara.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata pengagihan ekonomi yang adil dan saksama hanya akan dapat dilaksanakan dalam keadaan ekonomi negara berkembang dengan rancak dan mapan.

“Tiada apa yang boleh diagih kepada rakyat sekiranya pertumbuhan ekonomi negara perlahan dan menguncup.

“Oleh yang demikian, usaha-usaha untuk mengagih kek ekonomi negara secara adil dan saksama kepada rakyat mestilah bergerak seiring dengan usaha-usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat dan meningkatkan daya saing negara,” kata beliau yang juga pengerusi Institut Masa Depan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada majlis pelancaran WKB2030 oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata WKB2030 menyediakan satu landasan baharu untuk Malaysia melonjakkan pencapaian ekonominya dan memenuhi hasrat rakyat untuk mengecapi kehidupan yang makmur dan sejahtera.

Menerusi wawasan itu, katanya pelbagai usaha akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat yang akan membolehkan setiap isi rumah mengecapi taraf hidup yang wajar.

Selain itu rakyat juga dapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas yang berkualiti, menerima faedah daripada sistem penyampaian dan tadbir urus kerajaan yang berintegriti, menikmati alam sekitar yang bersih dan selamat, serta hidup dalam suasana yang aman, sejahtera dan sentosa, katanya.

Beliau berkata satu sistem pemantauan secara bertahap harus diwujudkan untuk memastikan keberhasilan setiap sasaran yang telah ditetapkan di bawah teras dan strategi utama WKB2030 dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun.