Tindakan lepaskan ‘kura-kura buaya’ di Tasik Putrajaya ancam keselamatan

Tasik Putrajaya iaitu tasik buatan manusia sememangnya terkenal sebagai tempat beriadah bukan sahaja dalam kalangan warga Putrajaya malah penduduk di Kuala Lumpur serta negeri lain juga suka berkunjung ke situ.

Dengan pemandangannya yang indah serta banyak kemudahan lain yang disediakan membuatkan ia tempat yang sesuai untuk seisi keluarga.

Malah beberapa acara sukan air peringkat tempatan dan antarabangsa turut diadakan di sini.

Untuk pengetahuan segala aktiviti dan penjagaan tasik ini sentiasa dipantau oleh Pengurusan Ekohidrologi, Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland Perbadanan Putrajaya, termasuk spesies haiwan dan tumbuhan yang berada dalam ekosistem di sekitar tasik ini.

Bagaimanapun baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan sekumpulan warga emas telah melepaskan seekor kura-kura spesis asing yang dikenali sebagai “Alligator Snapping Turtle” atau “kura-kura buaya” ke dalam Tasik Putrajaya.

Pelepasan haiwan tersebut dipercayai boleh memudaratkan ekosistem yang dipelihara dalam tasik tersebut serta orang ramai yang menggunakan tasik tersebut sebagai tempat untuk beriadah.

Tindakan ini turut mendapat kecaman netizen kerana spesis “kura-kura buaya” yang berasal dari Amerika Syarikat ini sangat agresif serta boleh memudaratkan ekosistem haiwan tempatan di dalam tasik itu.

Foto yang dikongsi di Twitter oleh @apaiothmn menunjukkan gambar sekumpulan warga emas ini telah melepaskan kura-kura buaya ke dalam Tasik Putrajaya yang dipercayai sebelum ini dipelihara bagi tujuan keagamaan untuk mendapatkan tuah dan nasib baik.

Dan berkemungkinan haiwan reptilia ini terpaksa dilepaskan selepas kura-kura itu bertindak agresif memandangkan ia semakin membesar.

Menurut netizen itu lagi, spesies haiwan penceroboh seperti “Alligator Snapping Turtle” akan mendatangkan risiko yang tinggi kepada spesis haiwan sedia ada, dengan merosakkan ekosistem dan habitat semula jadi mereka.

Turut menjadi kebimbangan apabila terdapat orang ramai terutama kanak-kanak yang terserempak haiwan ini, dan ia mungkin boleh mendatangkan bahaya.

Manakala dalam satu lagi perkongsian di Facebook seorang netizen bernama BigBoss menyatakan spesis ini merupakan spesis reptilia asing yang berasal dari Amerika Syarikat.

Melihat kepada bentuknya sahaja sudah cukup menyeramkan dan apa yang membimbangkan ialah kura-kura ini mampu bersifat ganas dan agresif.

Haiwan ini biasanya mempunyai ukuran sekitar 30 hingga 80 sentimeter dengan berat sehingga 100 kilogram.

Usia “Alligator Snapping Turtle” mampu mencecah 100 tahun dengan menghabiskan kebanyakan hayatnya di dalam air.

Sifatnya ia akan berada selama 40 hingga 50 minit di dalam air kemudian haiwan ini akan menuju ke permukaan air untuk mendapatkan oksigen.

Pihak berkuasa dan Perbadanan Putrajaya dilaporkan sedang menyiasat perkara ini selepas satu laporan polis dibuat.

Difahamkan pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan susulan selepas mendapat bukti sekiranya kura-kura penceroboh agresif ini telah dilepaskan secara haram ke dalam tasik tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]