Tokoh berpengaruh Iraq gesa kerajaan berundur, pilihan raya segera

Penunjuk perasaan berkumpul di jalan-jalan utama di Baghdad, protes ganas mengakibatkan 65 orang terbunuh setakat semalam. (Gambar Reuters)

BAGHDAD: Seorang ulama paling berpengaruh di Iraq menggesa kerajaan berundur selepas angka kematian ekoran protes anti kerajaan meningkat kepada 65 orang semalam.

Moqtada al-Sadr, pemimpin politik populis yang mempunyai pengikut besar di Iraq, berkata pilihan raya baru perlu diadakan tidak lama lagi.

“Hormatilah darah Iraq melalui peletakan jawatan kerajaan dan bersiap sedia untuk pilihan raya awal dengan diawasi pemantau antarabangsa,” kata beliau dalam kenyataan media.

Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi menggesa rakyat bertenang ketika lebih 190 orang cedera di ibu negara Iraq semalam, tetapi para penunjuk perasaan mengecam janji-janji pembaharuan politiknya.

Campur tangan pemimpin itu kemungkinan mendorong mereka untuk meneruskan demonstrasi sehingga kerajaan berundur.

Di jalan-jalan di Baghdad, polis kelihatan menyasarkan penunjuk perasaan individu.

Polis menembak mati tiga orang yang cuba merempuh ibu pejabat kerajaan wilayah di bandar selatan Diwaniya.