Wawasan Kemakmuran Bersama tidak abai Bumiputera, kata Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dilancarkan kerajaan Pakatan Harapan hari ini tidak akan mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Wawasan Kemakmuran Bersama bermaksud masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan dan perlu dibangunkan supaya lebih kompetitif serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik yang lain.

“Ada yang menyebarkan khabar palsu bahawa kerajaan Pakatan Harapan hari ini mahupun Wawasan Kemakmuran Bersama ini telah mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera dengan menyamaratakan semua peluang dan meliberalisasikan semua sektor.

“Kita sangat memahami masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara,” kata beliau.

Mahathir memberitahu pada waktu sama seperti beliau selalu tekankan, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan kerajaan.

“Apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju untuk mengejar mereka yang dihadapan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran WKB2030 dengan tema “Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia”.

Mahathir berkata, pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama akan meliputi semua rakyat Malaysia.
“Namun begitu, selaras dengan konsep kesaksamaan yang mendasari usaha ini, beberapa kumpulan akan diberikan keutamaan supaya kedudukan sosioekonomi mereka dapat dibaik pulih agar mereka tidak ketinggalan.

“Kumpulan-kumpulan sasaran berkaitan termasuklah,kumpulan B40, miskin tegar dan rentan ekonomi,masyarakat dalam transisi ekonomi,masyarakat Orang Asli,bumiputera Sabah dan Sarawak, orang kurang upaya,belia,wanita,lanak-kanak dan
Warga emas.

“Wawasan Kemakmuran Bersama adalah amanah pada kita hari ini dan hadiah dan milik anak cucu kita di masa hadapan,” katanya.