WKB2030 garis 14 strategi struktur semula ekosistem, muncul negara maju

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menyediakan teras dan strategi pembangunan negara dilancarkan hari ini.

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula ekosistem perniagaan dan industri antara tujuh teras strategik dalam buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang menggariskan 14 cadangan strategi bagi mencapai status negara maju.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini, buku WKB2030 dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), menyatakan walaupun pertumbuhan ekonomi di Malaysia pada dasarnya masih kukuh dan memberangsangkan, namun masih banyak penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

Menurut MEA, penstrukturan itu penting memandangkan terdapat jurang yang besar antara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan syarikat besar tempatan dan multinasional.

Jurang yang wujud adalah seperti tahap penggunaan teknologi serta kemampuan meneroka industri baharu dan meningkatkan produktiviti.

Sehubungan itu, antara 14 cadangan strategi digariskan bagi menyelesaikan permasalahan yang telah dikenal pasti adalah memperkukuh rantaian bekalan serta membangunkan vendor PKS untuk memacu pertumbuhan PKS, mengkaji, merasionalisasi dan menambah baik program pembangunan keusahawanan termasuk membantu perusahaan Bumiputera agar lebih berdaya saing.

Strategi itu turut meliputi mengenal pasti dan memeta syarikat peneraju dalam rantaian bekalan perniagaan dan industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi bagi membolehkan PKS menceburi industri hiliran berkaitan.

Ia juga menekankan kerjasama lebih giat antara syarikat besar dengan PKS melalui persatuan perniagaan berasaskan kluster industri dengan menggalakkan syarikat besar menggunakan input, produk atau perkhidmatan daripada PKS; meningkatkan penglibatan usahawan kecil dan rintis dalam ekonomi digital yang menghasilkan produk inovasi dan harta intelek bernilai ditambah tinggi.

Strategi lain adalah memperluas aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah tinggi; membangunkan program menyeluruh merangkumi semua peringkat dalam membudayakan teknologi dan automasi selari dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dalam penghasilan inovasi baharu.

Teras strategik itu turut menyasarkan PKS dan perniagaan mikro menyumbangkan 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); mewujudkan 30 peratus daripada jumlah syarikat PKS dalam bidang teknologi tinggi yang intensif dalam pembuatan dan perkhidmatan subsektor, sekurang-kurangnya 20 peratus PKS Bumiputera dalam setiap subsektor berintensifkan teknologi tinggi dan PKS Bumiputera menyumbangkan sebanyak 20 peratus kepada KDNK.

Tangani lapan situasi

Dalam pada itu, WKB2030 digubal berdasarkan kehendak dan keperluan semasa ekonomi negara, dengan mengambil kira struktur sosioekonomi dalam tempoh sedekad yang lalu.

Ia mendedahkan lapan situasi yang perlu ditangani untuk memenuhi hasrat kerajaan mencapai dasar tersebut.

Situasi yang sedang dihadapi termasuklah pertumbuhan ekonomi negara yang sehingga kini masih belum mencapai potensi sebenar.

Selain itu, kepelbagaian produk dan perkhidmatan di negara ini masih belum mencapai tahap optimum dan kebergantungan kepada eksport berasaskan komoditi secara relatifnya adalah masih tinggi.

Sebahagian besar industri masih berada dalam kategori nilai ditambah yang rendah dengan penggunaan teknologi yang rendah, malah bahagian pampasan pekerja kepada KDNK juga rendah.

Situasi lain termasuklah melebarnya jurang antara kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah; serta wujudnya masalah persaingan yang tidak adil dalam pasaran akibat amalan monopoli dan pencatutan.

Lebih parah lagi, gejala rasuah dan salah guna kuasa menjejaskan pertumbuhan dan pengagihan ekonomi yang adil dan saksama; dan ekonomi Bumiputera tidak berkembang seiring dengan pembangunan dan kemajuan negara.

Buku tersebut turut mencatatkan negara telah melalui pelbagai fasa pembangunan sehingga ke tahap sekarang serta dasar-dasar yang pernah dilaksanakan.

Pola ekonomi negara

Pola ekonomi negara berasaskan etnik yang terbentuk sejak zaman penjajah hingga menyebabkan berlaku konflik sosial dalam kalangan rakyat.

Lantas ekonomi distruktur melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menyusun semula masyarakat agar konflik sosial tidak berulang dan ekonomi terus berkembang.

DEB telah mengembalikan keyakinan dan persefahaman antara kumpulan etnik serta menghasilkan pelbagai peluang penyertaan dalam ekonomi.

Hasilnya kadar kemiskinan tegar dikurangkan, pendapatan isi rumah meningkat dan politik stabil.

Namun begitu, sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus masih belum dicapai sehingga kini.

Langkah penstrukturan ekonomi terus dilaksanakan untuk mengalihkan tumpuan negara daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian dengan melaksanakan Dasar Perindustrian Negara dan memperkenalkan Wawasan 2020.

Beberapa dasar telah diperkenalkan seperti Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan Dasar Transformasi Negara (2011-2020).

Sepanjang tempoh pelaksanaan dasar penstrukturan ekonomi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan antara pencapaian yang ketara termasuk melonjakkan Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi dengan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDeC), yang kini dikenali sebagai Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC).

Dasar Automotif Nasional diwujudkan dan terhasilah Perusahaan Otomobil Nasional dan Perusahaan Otomobil Nasional Kedua.

Negara mengecapi Ekonomi Perindustrian Baru di Asia dengan kadar pertumbuhan purata sebanyak 9.6 peratus setahun dalam tempoh 1991-1996 sehingga digelar Harimau Asia.

Malangnya krisis kewangan Asia 1997/98 melanda negara tetapi instrumen kawalan modal terpilih yang dilaksanakan kerajaan telah mendapat pengiktirafan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Malaysia turut terkesan dengan krisis ekonomi serantau dan dunia seperti krisis ekonomi pada tahun 2001 dan 2008 yang menuntut penyusunan semula pembangunan ekonomi secara lebih holistik.

Oleh itu semua situasi yang dikenal pasti itu akan ditangani melalui dasar WKB2030.