Zahid beri bayangan calon Umno tanding PRK Tg Piai

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan pengundi di Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan.

JOHOR BAHRU: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi bayangan parti itu bakal bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 Nov depan.

Berucap merasmikan Konvensyen Umno Johor di sini hari ini, Zahid berkata pengundi Melayu di kawasan berkenaan mahukan perubahan di situ.

“Ya, kerusi tradisi adalah kerusi MCA. Kita tahu bahawa 56.9 peratus atau hampir 57 peratus daripada pengundi Tanjung Piai adalah orang Melayu.

“Umno dan orang Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan. Namun MCA juga mahu mengekalkan tradisinya. Tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati, MCA dapat berlapang dada,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin, pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Hasni Mohamad dan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Ditanya pemberita maksud di sebalik kenyataannya MCA perlu berlapang dada itu selepas majlis perasmian berkenaan, Zahid berkata, “MCA sentiasa berlapang dada sama seperti MIC di PRK Cameron Highlands,”

Dalam ucapannya Zahid turut mengumumkan Hasni sebagai pengarah pilihan raya PRK Tanjung Piai, manakala ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Jefridin Atan sebagai pengarah operasi.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang merupakan PRK kesembilan selepas pilihan raya umum ke-14 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas, berikutan komplikasi jantung.

Md Farid, yang merupakan seorang pakar bius dan timbalan ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).