Australia tolak permintaan AS ekstradisi ahli akademik Iran

Pelajar dari Iran Reza Dehbashi Kivi tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat sebaliknya dihantar balik ke Tehran. (Gambar Youtube)

MELBOURNE: Canberaa tidak akan mengekstradisi ahli akademik Iran ke Amerika Syarikat (AS), kata peguam negara Australia berikutan penahanan selama 13 bulan penyelidik itu berhubung dakwaan mengeksport kelengkapan ketenteraan keluaran Washington ke Tehran.

Peguam Negara Christian Porter berkata dalam satu kenyataan, “dalam semua keadaan kes ini” ahli akademik Reza Dehbashi Kivi tidak boleh diekstradisi.

“Keputusan saya dibuat selaras dengan keperluan proses undang-undang domestik Australia dan benar-benar selaras dengan kuasa diberikan kepada peguam negara Komanwel di bawah undang-undang kita,” kata Porter.

Kenyataan itu muncul beberapa jam selepas Iran bersetuju untuk membebaskan pasangan Australia dari penjara Tehran, yang ditahan atas tuduhan mengintip. Kemudian semalam, media Iran melaporkan Reza sudah kembali ke Iran.

Porter tidak akan mengatakan sama ada kedua-dua kes itu berkaitan.

“Kerajaan Australia tidak mengulas mengenai butiran di sebalik pertimbangan terhadap kes-kes tertentu,” kata Porter dalam kenyataan dihantar melalui e-mel.

“Dan, berkemungkinan kerana negara asal (Reza) Kivi, ada yang akan membuat spekulasi mengenai perkara ini, selaras dengan amalan terdahulu, saya tidak berniat untuk memberi komen lanjut mengenai butiran khusus kes ini, terutamanya apabila reaksi saya dapat mengurangkan kemampuan kerajaan kita untuk menangani hal-hal masa depan seperti ini dalam kepentingan terbaik Australia.”

Menurut ABC News Australia, Reza, 38, ditangkap pada Sept 2018 atas tuduhan menghantar peralatan AS untuk pesawat atau peluru berpandu ke Iran.

AS cuba mengekstradisi dia atas enam pertuduhan, termasuk bersekongkol mengeksport bahan-bahan diklasifikasikan sebagai “artikel pertahanan” di bawah senarai amunisi AS, menurut ABC News.

Reza seorang pelajar PhD di Universiti Queensland, dengan peguamnya berkata, dia sedang berusaha membangunkan mesin mengesan kanser kulit, menurut laporan media Australia.