Dakwaan ‘salah kira’ KDNK, kementerian jawab Najib

Dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan semalam.

PETALING JAYA: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hari ini menjelaskan kaedah pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang digunakannya dalam usaha mencapai sasaran RM3.4 trilion menjelang 2030 dengan purata kadar pertumbuhan 4.7 peratus setahun.

Dalam satu kenyataan ia berkata, sasaran pertumbuhan KDNK yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) mengambil kira dua konsep ukuran, iaitu menerusi harga nominal (harga semasa) dan harga malar (harga tetap).

Katanya, pengiraaan saiz KDNK sebanyak RM3.4 trilion adalah pada harga nominal yang mengambil kira kesan inflasi.

“Pengukuran KDNK dalam harga nominal (harga semasa) mengambil kira kesan kadar inflasi, manakala pengukuran yang sama dalam harga malar (harga tetap) tidak mengambil kira kesan kadar inflasi dan oleh itu mencerminkan peningkatan dalam nilai ditambah atau output sebenar.

“Perlu ditegaskan bahawa pengiraan saiz KDNK sebanyak RM3.4 trilion adalah pada harga nominal yang mengambil kira kesan inflasi.

“Maka untuk mencapai sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion pada tahun 2030, KDNK perlu berkembang pada harga malar 4.7% setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030 dengan kadar inflasi purata 2.3% dalam tempoh tersebut.

“Dalam kata lain, sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion boleh dicapai dengan pertumbuhan purata pada harga nominal 7% setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030,” katanya.

Ia berkata, dokumen WKB2030 yang dibentangkan semalam jelas membezakan angkubah itu mengikut dua pengukuran tersebut.

“Ini selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi sejurus selepas pelancaran WKB 2030 semalam.

“WKB 2030 merupakan satu hala tuju baru negara bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam tempoh dekad yang akan datang,” katanya.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan pengiraan Putrajaya dalam menyasarkan KDNK sebanyak RM3.4 trillion pada 2030.

Najib berkata, pengiraan tersebut salah dan kadar purata pertumbuhan perlu berada dalam anggaran 7.36 peratus setahun untuk mencapai sasaran KDNK RM3.4 trilion kerana KDNK pada 2018 adalah RM1.45 trilion.

Najib berkata, pada kadar pertumbuhan 4.7 peratus KDNK hanya akan mencapai jumlah RM2.53 trilion menjelang 2030.

Katanya, beliau bukan satu-satunya orang yang menyedari kesilapan itu kerana pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Kamal Salih juga dilaporkan berkata bahawa kadar pertumbuhan KDNK perlu berada pada paras enam hingga lapan peratus bagi mencapai sasaran WKB 2030, bukan empat hingga lima peratus.

Kerajaan menyasarkan KDNK sebanyak RM3.4 trilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan purata 4.7 peratus setahun dalam tempoh 10 tahun menerusi WKB2030.