Dr M nafi laporan sokongan PH merosot

SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penemuan sebuah badan pemikir yang mendakwa populariti Pakatan Harapan merosot daripada lebih 80 peratus kepada 35 peratus tidak tepat.

Pengerusi PH itu berkata, sokongan rakyat kepada gabungan parti pemerintah masih kuat dengan mengambil kira kehadiran orang awam tiap kali pimpinan PH turun padang.

“Kita sedar ada pihak kata sokongan kepada PH daripada 80 peratus menurun kepada 35 peratus. Saya tidak tahu dari mana mereka buat kajian ini.

“Kadang-kadang bila ada kajian yang dibuat, bukan diambil secara keseluruhan, tetapi dengan mengambil kira sebilangan kecil dan pendapat mereka diambil seolah-olah mewakili semua.

“Kita berpendapat ianya tidak tepat. Setakat yang kita tahu, sokongan kepada kerajaan masih kuat,” katanya pada sidang media sempena temu rapat PH hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu kaji selidik Merdeka Center yang dibentangkan pada temu rapat tertutup hari ini  menunjukkan populariti PH menjunam daripada 87 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-14 kepada 35 peratus pada Ogos lalu.

Menurut laporan itu, populariti PH dalam kalangan pengundi Cina dan India merosot kepada 41 peratus serta 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong gabungan itu Ogos lalu.

Kejatuhan itu menunjukkan PH berisiko kehilangan kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil bulan depan.

Sumber dipetik portal berita itu berkata, kaji selidik Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut menunjukkan sokongan terhadap PH berkurangan, antaranya disebabkan perbezaan suara antara pemimpin, kritikan antara satu sama lain, campur tangan menteri dalam kementerian lain dan kurang kerjasama dalam struktur PH.

Hari ini, Mahathir berkata, PH perlu memastikan sokongan rakyat tidak merosot.

“Ketika ini kita masih didokong oleh rakyat, dihargai rakyat, kita kena jaga supaya tidak merosot.

“Saya tahu banyak orang nak salam, ambil gambar, masih ada sokongan, ini bukti sokongan masih ada.”

Perdana menteri berkata, walaupun kerajaan ditadbir lima parti politik dalam PH, pemimpin akan mengadakan perbincangan bersama dan membuat keputusan yang diterima semua pihak.

“Kita tidak khuatir kita akan berpecah sesama sendiri. Inilah kerajaan PH, dengan adanya temu rapat ini, hubungan antara pemimpin dan wakil rakyat jadi lebih baik, masa depan hubungan ini diteruskan.”

Ucapan ketua penganjur Kongres Maruah Melayu

Mahathir berkata, beliau tidak mendengar intipati ucapan ketua penganjur Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling mengenai Malaysia adalah tanah orang Melayu.

“Saya tidak mendengar dia (Zainal) kata macam itu, kena dengar balik.”

Terdahulu, Zainal dalam ucapannya pagi tadi mengingatkan kaum lain supaya tidak melanggar kontrak sosial dengan orang Melayu atau kerakyatan mereka boleh “digantung”.

Kenyataan itu dikritik beberapa pihak, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking yang berkata, tidak adil menyalahkan orang bukan Melayu dan mengugut kewarganegaraan mereka setiap kali timbul isu membabitkan orang Melayu.