Iran takkan tunduk, akan guna semua cara eksport minyak

Bijan Zanganeh (tengah) berkata, Iran tidak akan tunduk kepada tekanan AS.

DUBAI: Iran akan menggunakan semua cara untuk mengeksport minyaknya kerana ia adalah hak mutlak negara itu berbuat demikian, kata Menteri Minyaknya, Bijan Zanganeh dipetik laman web kementerian itu, SHANA.

“Kami akan menggunakan setiap cara yang mungkin untuk mengeksport minyak kami dan kami tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika kerana mengeksport minyak adalah hak Iran yang sah,” kata Zanganeh hari ini.

Pengeksportan minyak mentah Iran merosot lebih 80 peratus apabila Amerika Syarikat melaksanakan semula sekatan selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran dengan kuasa dunia yang dimeterai pada 2015, tahun lalu.

Sejak itu, Washington melaksanakan semula sekatan ke atas eksport minyak Iran.

Iran dalam reaksi balasnya mengurangkan komitmennya terhadap perjanjian nuklear 2015 secara beransur-ansur, di mana Tehran bersetuju mengawal kegiatan nuklearnya untuk pembatalan kebanyakan sekatan antarabangsa ke atasnya.

Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) pada Ahad menegaskan ia akan mengurangkan lagi komitmen di bawah perjanjian itu, jika pihak Eropah dalam perjanjian itu gagal memenuhi janji untuk melindungi ekonomi Iran daripada sekatan AS.

“Kami akan teruskan rancangan kami untuk mengurangkan komitmen kami terhadap perjanjian nuklear jika pihak lain gagal mengotakan janji mereka,” kata jurucakap AEOI, Behrouz Kamalvandi dipetik agensi berita ISNA.