Kit Siang mahu laporan CEP, IRC dibentang sebagai Kertas Putih

Pemimpin DAP Lim Kit Siang berkata, Parlimen perlu membahaskan cadangan reformasi institusi dan politik seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH.

PETALING JAYA: Lim Kit Siang hari ini menggesa supaya laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) dibentang sebagai Kertas Putih di Parlimen yang akan bersidang esok.

Pemimpin DAP itu berkata, laporan berkenaan kemudiannya harus dirujukkan kepada Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang dipengerusikan oleh ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Anwar perlu mengemukakan cadangan kepada Parlimen dalam tempoh enam minggu mengenai tindakan yang harus diambil berhubung laporan CEP dan IRC.

“Ini bagi memastikan sidang Parlimen bermula esok dapat membahaskan cadangan reformasi institusi dan politik yang merupakan salah satu daripada lima teras janji mnifesto pilihan raya umum Pakatan Harapan (PH) sebelum ia ditangguhkan pada 5 Dis 2019,” kata beliau dalam satu kenyataan.

CEP yang diwujudkan selepas pilihan raya umum 2018 dilapotkan telah menemu bual lebih 300 individu daripada sektor awam dan swasta, selain kumpulan masyarakat sivil, aktivis dan ahli akademik.

Ia mengemukakan laporannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tetapi penemuaan dan syor belum didedahkan kepada umum.

Dalam pada itu, IRC yang ditubuhkan untuk meneliti reformasi agensi penting kerajaan turut mengundang banyak kontroversi politik.

Antara agensi yang diteliti adalah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

IRC menyerahkan laporan akhirnya kepada CEP dan Jabatan Perdana Menteri pada Jun tahun lepas.

Pada Okt tahun lalu, Lim mencadangkan supaya laporan CEP dibentangkan sebagai Kertas Putih di Parlimen.

Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersedia mendedahkan laporan IRC kepada umum walaupun ia memerlukan konsensus dalam kalangan parti komponen PH terlebih dahulu.