Kongres: Salah pemimpin politik abai hak orang Melayu

Abdul Muqit Muhammad berkata, orang Melayu memerlukan seorang pemimpin yang tegas dan boleh membawa perubahan kepada bangsa Melayu yang masih mundur dan terkebelakang.

SHAH ALAM: Kongres Maruah Melayu menyalahkan pemimpin politik Melayu dalam kerajaan sekarang dan terdahulu atas kegagalan dan pengabaian hak orang Melayu.

Pembentang resolusi kluster politik yang juga felo Pengajian Melayu dari Universiti Malaya, Abdul Muqit Muhammad menggariskan 2 faktor utama, iaitu pengabaian oleh pemimpin Melayu dan sabotaj pihak yang tidak memahami dan enggan mengiktiraf identiti nasional Malaysia.

“Pengabaian oleh pemimpin Melayu ini perlu kita fikirkan bersama dan sudah sampai masa kita perlukan seorang sosok pemimpin yang tegas dalam hal ini.

“Bukan sekadar lantang melaungkan hak orang Melayu saja, bukan omongan kosong yang tidak ada makna, tetapi orang yang boleh membawa perubahan kepada bangsa Melayu yang masih mundur dan terkebelakang,” katanya di Kongres Maruah Melayu hari ini.

Muqit memberi contoh kehilangan tanah rizab Melayu.

“Satu kajian kira-kira 11 tahun lalu menyatakan tanah rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus saja dan saya percaya jumlahnya semakin berkurangan.

“Siapakah yang meluluskan tanah rizab Melayu ini? Jelas di sini ada pengabaian daripada pemimpin Melayu kerana merekalah yag bertanggungjawab meluluskan projek yang mengambil tanah rizab Melayu ini.”

Katanya, ada pemimpin Melayu dalam kerajaan baru yang nampaknya kehilangan kuasa kini.

Beliau berkata, pemimpin Melayu itu mendakwa orang Melayu seolah-olah tidak bertolak ansur.

“Kalau tidak bertolak ansur, mana mungkin wujud masyarakat majmuk seperti Malaysia hari ini?” soalnya.