Pakar gesa kerajaan fokus tingkat ekonomi Bumiputera, bukan pemilikan ekuiti

Purata golongan Bumiputera mempunyai simpanan kurang RM1,500 seisi keluarga dan kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian untuk membangunkan pendapatan mereka.

PETALING JAYA: Dua pakar ekonomi berkata, sasaran 30% pemilikan ekuiti korporat oleh Bumiputera di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) tidak penting dan bukan satu keperluan berbanding fokus untuk memperkasakan ekonomi golongan itu.

Barjoyai Bardai yang merupakan pensyarah Universiti Tun Abdul Razak berkata, pemilikan saham bukan sesuatu yang menguntungkan, apatah lagi untuk Bumiputera yang tidak berkemampuan.

“Ini kerana pemilikan saham dikira berasaskan bilangan saham yang dipegang oleh Bumiputera dan di Malaysia, kita ada lebih 300,000 syarikat.

“Tetapi, sebenarnya yang sangat menguntungkan mungkin hanya sedikit dan yang sedikit itu pun disenaraikan dalam bursa saham misalnya membayar dividen kurang 10% daripada keuntungan,” katanya kepada FMT.

Beliau mendakwa purata Bumiputera mempunyai simpanan kurang RM1,500 seisi keluarga dan kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian untuk membangunkan pendapatan mereka.

Barjoyai Bardai.

“Jadi mereka memang susah. Dahlah pendapatan tak cukup, simpanan tak ada. Mereka tidak dianggap wibawa dan mereka tidak dianggap mampu meminjam, membeli rumah dan hanya bekerja keras untuk tanggung perbelanjaan keluarga.”

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, sasaran pemilikan 30% ekuiti Bumiputera bukan saja gagal dicapai, malah ia menurun daripada 23% pada 2011 kepada 16.2% pada 2015.

Katanya, penyertaan korporat Bumiputera dan bukan Bumiputera penting dalam meningkatkan peratusan ekuiti Bumiputera bagi mencapai sasaran 30% yang diletakkan di bawah WKB2030.

Beliau berkata, pemilikan ekuiti bukan Bumiputera turut merosot daripada 34.8% pada 2011 kepada 30.7% pada 2015, berbanding pemilikan ekuiti asing yang meningkat kepada 45.3% disebabkan dasar kerajaan dahulu yang tidak cermat sehingga menyebabkan liberalisasi berlaku secara tergesa-gesa.

Barjoyai berkata, kerajaan mempunyai perancangan yang baik, tetapi tidak dapat mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti Bumiputera kerana kesilapan dalam pelaksanaan yang menyebabkan penyelewengan berlaku.

“Misalnya, apabila pengagihan saham baru dilakukan semasa penyenaraian syarikat, saham yang sepatutnya dikongsi dengan Bumiputera diberikan kepada kumpulan tertentu.

“Mereka yang merupakan Bumiputera ambil peluang, ambil semua saham ini di bawah payung kronisme dengan gaji bawah kerajaan dan kemudian menjual saham sebaik saja memilikinya, bukannya pengagihan sebenar.”

Sementara itu, pakar ekonomi, Noor Azlan Ghazali berkata sasaran 30% tidak mempunyai makna besar dalam konteks penguasaan ekonomi Melayu.

Ini kerana, katanya, pencapaian ekuiti adalah berdasarkan keadaan dalam pasaran saham.

“Pasaran jatuh, nilai ekuiti jatuh. Jadi, ia akan berubah-berubah ikut keadaan pasaran.”

Beliau berkata, lebih penting ialah kerajaan perlu memikirkan cara untuk mencapai sasaran bagi memperkasakan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

“Banyak sasaran, tetapi tak beritahu apa yang perlu dibuat. Kita letak sasaran, tetapi macam mana nak sampai ke sasaran itu, siapa nak buat, apa tindakan, apa yang perlu kita tekankan?”