Pemuda Umno beri 10 alasan Dr M perlu pecat pemimpin PKR, DAP

PETALING JAYA: Satu siri kenyataan berbentuk penghinaan terhadap agama dan bahasa Melayu antara 10 alasan disenaraikan Pemuda Umno untuk Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan pemimpin DAP serta PKR daripada kerajaannya bagi mengembalikan maruah orang Melayu.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa ahli politik utama DAP dan PKR menghina bahasa kebangsaan dengan mengeluarkan notis dan kenyataan rasmi kerajaan dalam bahasa Cina serta Tamil.

Kritikan Asyraf dilihat lebih menyasarkan DAP. Beliau mengungkit kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran pada Julai 2018 yang mendakwa orang Melayu adalah pendatang.

Kula Segaran kemudiannya memohon maaf atas kenyataan itu dan menarik balik “rujukan ofensif dalam ucapan spontan” yang dibuat dalam sebuah majlis di Nilai, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Kula Segaran mempertahankan kenyataan itu disalah tafsir untuk mencadangkan beliau menggunakan istilah “dengan rujukan kepada orang yang akan menghantar semula permohonan mereka”.

Asyraf berkata, Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming pada Mac lalu mendakwa kerjasama PAS-Umno akan membentuk negara “ala Taliban” jika mereka berjaya membentuk kerajaan, yang turut disokong Ketua DAP Sarawak, Chong Chien Jen.

“…ini mencetuskan perasaan takut, rasis dan prejudis di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap orang Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau kemudiannya mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencetuskan sentimen perkauman dengan mendakwa kerjasama dua parti Melayu terbesar di negara ini mungkin menyasarkan bukan Islam.

Katanya, Ahli Parlimen Kluang daripada DAP, Wong Shu Qi pada Ogos lalu menghina orang Melayu dan cuba menghasut orang Cina dengan mengaitkan tulisan jawi kepada bahan pornografi.

Wong bagaimanapun berkata, kenyataannya diambil di luar konteks dan mendakwa MCA serta Umno mengelirukan orang ramai serta memainkan sentimen perkauman.

Berdasarkan alasan itu, Asyraf berkata, Pemuda Umno menggesa Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan “melakukan tindakan betul kali ini sebelum terlambat” dengan menyingkirkan “pemimpin DAP dan segelintir pemimpin rasis PKR” daripada kerajaannya demi mengembalikan maruah orang Melayu seperti yang diucapkan dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pagi tadi.