PKR belum bincang permohonan keahlian Salleh Keruak

Semalam, Salleh Said Keruak dilapor menyerahkan permohonan untuk menyertai PKR secara atas talian.

SHAH ALAM: PKR belum membuat keputusan berhubung permohonan bekas menteri Umno, Salleh Said Keruak menyertai PKR.

Presidennya, Anwar Ibrahim berkata, permohonan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR akan datang.

“Permohonan Salleh Keruak itu belum dipertimbangkan Biro Politik PKR.

“Kita terima permohonan itu dan belum kita bincang dalam mesyuarat kepimpinan,” katanya pada sidang media sempena temu rapat Pakatan Harapan di sini hari ini.

Semalam, Salleh dilapor menyerahkan permohonan untuk menyertai PKR Bahagian Kota Belud secara atas talian tanpa pengetahuan pemimpin politik Sabah yang lain.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan semakan status keahlian PKR menunjukkan Salleh berdaftar sebagai ahli PKR Bahagian Kota Belud pada 25 Ogos lalu, dengan nombor keahlian S0300008562.

Salleh ialah anak Mohammad Said Keruak, bekas ketua menteri dan Yang di-Pertua Sabah pada pertengahan 1970-an.

Beliau dilantik sebagai ketua menteri dari 1994 hingga 1996, speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dari 2010 hingga 2015 serta menteri komunikasi dan multimedia dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada pilihan raya umum tahun lalu, tetapi tewas kepada sepupunya dari Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.

Salleh yang pernah dilantik sebagai bendahari agung Umno dan timbalan ketua Umno Sabah, meninggalkan parti itu pada 12 Disember 2018.