PKR Perak sokong Salleh jadi ahli parti

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pengalaman dan ketokohan yang ada pada Salleh Said Keruak mampu menyumbang dan menambah kekuatan PKR di Sabah. (Gambar Bernama)

IPOH: PKR Perak tiada masalah dan terbuka menerima bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak sebagai ahlinya.

Ketuanya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata pengalaman dan ketokohan yang ada pada pemimpin politik itu mampu menyumbang, selain menambah kekuatan kepada PKR, khususnya di Sabah.

“Saya kenal beliau secara peribadi di zaman beliau jadi menteri lagi. Bagi saya, dia seorang yang baik, bekerja keras dan berada dalam kalangan tokoh politik yang sentiasa perjuangkan nasib rakyat di Sabah.

“Beliau juga merasakan PKR ini adalah platform sesuai dan tepat untuk dirinya, terutama sekali senario di Sabah yang rakyat berbilang kaum dan di situ saya rasa beliau sangat tepat,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Bahagian Tambun yang dihadiri lebih 500 ahli hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan parti itu menerima permohonan Salleh secara atas talian dan ia bakal dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik akan datang.

Farhash berkata, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perbezaan pandangan di pelbagai peringkat, jika penyertaan Salleh diterima PKR.

“Buat masa ini, saya tak dengar lagi sebarang tentangan. Tapi biasalah dalam politik ini pasti akan ada yang menentang dan pasti juga ada yang akan menerima sebab nama (Salleh) ini adalah nama besar,” katanya.