Protes antikerajaan di Iraq cetus semula, 11 terbunuh

Penunjuk perasaan mula berkumpul semula di Baghdad pada 5 Okt selepas pihak berkuasa menarik balik perintah berkurung antikerajaan. (Gambar Reuters)

BAGHDAD: Protes antikerajaan tercetus semula sehari selepas Iraq menarik balik perintah berkurung, mengakibatkan 11 orang lagi terbunuh dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan.

Polis dan sumber-sumber perubatan berkata mangsa korban dalam protes antikerajaan minggu ini, paling buruk dalam dua tahun lalu, meningkat kepada sekurang-kurangnya 88 orang.

Protes terbaru menjejaskan hari Sabtu yang relatif tenang setelah pihak berkuasa menarik balik perintah berkurung. Di satu dataran di mana penunjuk perasaan berkumpul sehari sebelum ini, menyaksikan pihak berkuasa meletakkan beratus anggota polis dan anggota keselamatan lain sebagai langkah berjaga-jaga.

Ini rusuhan paling dahsyat di Iraq selepas kekalahan IS pada 2017 dan telah menjejaskan kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi.

Kerajaan menyatakan kesediaan untuk memenuhi tuntutan meningkatkan peluang pekerjaan, perkhidmatan lebih baik dan menghapuskan rasuah endemik dengan janji-janji pembaharuan, yang jelas tidak mungkin menenangkan rakyat Iraq.

Pembangkang memutuskan untuk memulau sidang parlimen dan mahu Abdul Mahdi dan Kabinetnya meletakkan jawatan.