Putrajaya perlu tingkat perbelanjaan, rangsang ekonomi, kata pakar

Pakar ekonomi berkata, Belanjawan 2020 boleh menawarkan inisiatif seperti projek mega serta projek dengan kesan pengganda tinggi bagi mengekalkan permintaan domestik dan memulihkan pelaburan swasta.

PETALING JAYA: Kerajaan persekutuan perlu menimbangkan langkah meningkatkan perbelanjaannya dan mengurangkan cukai sebagai satu cara bagi menghadapi kemungkinan kelembapan ekonomi, kata seorang pensyarah ekonomi.

Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway berkata, laporan terbaru berhubung kejatuhan import modal, paling besar sejak 2009, mengisyaratkan berlakunya kemerosotan dalam pelaburan dan pengembangan perniagaan.

Bercakap kepada FMT, Yeah berkata, kelembapan pelaburan yang berpanjangan boleh mengakibatkan pengurangan output dan kemerosotan dalam kegiatan perniagaan.

Agensi berita Bloomberg melaporkan kejatuhan 31 peratus dalam import barang modal seperti mesin dan peralatan yang digunakan bagi mengeluarkan barangan dan perkhidmatan, sementara import barang penggunaan jatuh 12.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Yeah Kim Leng.

Angka bagi bulan Ogos merupakan kemerosotan tiga bulan berturut-turut berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ia menggambarkan kelembapan permintaan domestik kini semakin mengukuh,” kata Yeah.

“Pada 2015, tempoh kelemahan import sama pernah berlaku, tetapi kemerosotan kali ini lebih buruk sedikit.”

Walaupun kelembapan ini mungkin tidak seburuk keadaan yang berlaku pada 2009 apabila ekonomi menerima kesan krisis kewangan dunia, namun ia boleh menyebabkan isi rumah dan perniagaan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka, sekali gus mengakibatkan penurunan dalam kegiatan ekonomi dan pertumbuhan pekerjaan.

Beliau berkata, pertambahan perbelanjaan kerajaan boleh merangsang permintaan domestik, sementara cukai lebih rendah akan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan perniagaan.

Kerajaan juga perlu melihat kemungkinan untuk menyediakan lebih banyak insentif kepada pelabur, tambahnya.

Lee Heng Guie.

Lee Heng Guie dari Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi juga berkata, penurunan import barang modal dan pertengahan mungkin menandakan kemerosotan dalam aktiviti ekonomi domestik seperti pelaburan swasta, pengeluaran industri dan eksport.

Pengurangan import barang modal mungkin menunjukkan pelabur mengambil sikap bertahan, sementara barang pertengahan digunakan sebagai input dalam pengeluaran barang yang dijual di sini atau dieksport ke luar negara.

Beliau berkata, perang perdagangan AS-China memberi kesan besar ke atas sentimen pelaburan dan perniagaan yang mengakibatkan permintaan terhadap eksport lebih lemah.

“Permintaan domestik perlu dipertahankan bagi memastikan ekonomi terus berkembang,” katanya.

“Penggunaan swasta merupakan teras sokongan utama, dan dibantu oleh pasaran tenaga kerja yang stabil dan pertumbuhan pendapatan, selain langkah berasaskan pendapatan seperti elaun kos hidup.”

Lee berkata, Belanjawan 2020 boleh menawarkan inisiatif seperti projek mega serta projek dengan kesan pengganda yang tinggi bagi mengekalkan permintaan domestik dan memulihkan pelaburan swasta.