Saya berhak hadir kongres sebab saya Melayu, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berucap merasmikan kongres Melayu di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kehadiran beliau di Kongres Maruah Melayu dengan berkata, sebagai orang Melayu beliau berhak menghadirinya walaupun digesa tidak berbuat demikian.

Perdana menteri juga berkata, acara hari ini bukan berkaitan parti politik atau “kumpulan tertentu” dengan menambah ia merupakan perbicangan tentang maruah orang Melayu.

“Sebagai orang Melayu, saya berhak hadir.

“Saya mahu ingatkan pihak tertentu, saya biasa bercakap di depan orang bukan Melayu, tetapi tidak ada orang Melayu beritahu saya supaya tidak hadir acara dengan orang bukan Melayu,” kata beliau ketika merasmikan kongres itu di sini.

Kongres ini diadakan tiga minggu selepas Umno dan PAS mengadakan Himpunan Penyatuan Ummah di ibu negara. Beberapa pihak mendakwa kongres ini diadakan sebagai persaingan kepada himpunan tersebut, malah ada yang mengesyorkan supaya Mahathir tidak hadir menyampaikan ucapan.

Pengerusi Pakatan harapan (PH) berkata beliau percaya perhimpunan hari ini perlu bagi membolehkan orang Melayu bertindak “memperbaiki keadaan kita”.

Ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Kongres Maruah Melayu.

“Kita banyak buat silap sehingga ke peringkat maruah kita dihina,” kata beliau yang kali kedua menjadi perdana menteri Mei 2018.

Katanya, ketika negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu merupakan kelompok terbesar mewakili 60 peratus daripada penduduk.

Bagaimanapun mereka tidak menghargai keadaan itu sehingga berpecah kepada “enam kumpulan kecil” yang gagal memperoleh sokongan 50% rakyat.

Mahathir juga berkata, orang Melayu berbalah sesama mereka sehinggakan mereka terpaksa bergantung pada orang lain untuk menang dalam pilihan raya.

“Kita menjadi takut kalau kita tidak mendapat sokongan mereka dan tidak boleh menang. Kita melepaskan kuasa yang diberikan.

“Itulah sebabnya maruah kita dihina dan kita dipandang rendah.”

Kongres hari ini turut dihadiri pemimpin Umno dan PAS serta komponen Pakatan Harapan serta badan-badan bukan kerajaan. Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.