Tak adil salahkan orang bukan Melayu tiap kali timbul masalah, kata Leiking

Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking mengkritik kenyataan ketua penganjur Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling yang disifatkannya tidak adil untuk menyalahkan orang bukan Melayu dan mengugut kewarganegaraan mereka setiap kali timbul isu membabitkan orang Melayu.

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, sikap seperti itu hanya akan membawa kepada perpecahan dan polarisasi di Malaysia, walaupun mereka yang membuat kenyataan sedemikian dapat menikmati justifikasi atau kegembiraan buat seketika.

Zainal dalam ucapannya pagi tadi berkata, Malaysia adalah negara orang Melayu dan beliau mengingatkan kaum lain tidak melanggar kontrak sosial dengan orang Melayu atau kerakyatan mereka boleh “digantung”.

Leiking berkata: “Saya tertanya-tanya siapa yang menyerang orang Malayu atau sama ada terdapat konspirasi terselindung untuk menurunkan taraf orang Melayu seperti dakwaan Zainal.

“Tetapi, menyalahkan orang bukan Melayu atau menyerah kepada fahaman perlindungan (mengancam orang bukan Melayu) pastinya tidak akan membawa masyarakat Melayu ke arah kemajuan atau membangun.”

Beliau menyifatkan serangan berterusan terhadap orang bukan Melayu tidak sihat kerana orang Melayu sudah menikmati faedah dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Orang bukan Melayu perlu bekerja lebih keras berbanding orang Melayu, tetapi pada masa sama, mereka diharapkan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.”

Beliau yang juga timbalan presiden Warisan berkata, “kontrak sosial yang diwarisi” seperti disifatkan Zainal, boleh dianggap tidak wujud dalam konteks itu kerana Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia secara bersama.

Katanya, isu pewarisan kontrak sosial tidak patut timbul lagi kerana melalui Perjanjian Malaysia 1963, Malaysia bukan saja tanah orang Melayu, “tetapi tanah orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Iban dan Dayak”.

“Jadi, saya harap Zainal akan faham dengan jelas yang Sabah dan Sarawak tidak ‘menyertai’, tetapi ‘membentuk bersama sebagai entiti berasingan’ persekutuan Malaysia.

“Beliau patut membuat kajian terperinci mengenai Perjanjian Malaysia 1963 sebelum menggunakan kontrak sosial di Malaysia sebagai asas penghujahannya.”