Terlalu ramai pelancong punca beberapa pulau ditutup kepada pelancong

Kebanjiran pelancong tanpa had dilihat mampu menyebabkan pencemaran malah merosakkan keindahan yang dipelihara di sesebuah pulau itu.

Sehubungan itu beberapa negara terpaksa mengambil tindakan menutup pulau peranginan mereka sebagai usaha memulihkan ekosistem serta alam flora dan fauna yang terjejas.

Dan inilah yang dilakukan kerajaan Indonesia baru-baru ini apabila bercadang menutup Pulau Komodo kepada orang awam bermula Januari depan dalam usaha memulihara biawak komodo di pulau itu.

Sebenarnya sebelum ini beberapa pulau popular turut diumumkan penutupannya kepada pelancong sebagai usaha untuk memelihara alam sekitar dan hidupan liar.

1. Teluk Maya, Thailand

Lokasi penggambaran filem The Beach lakonan Leonardo DiCaprio itu ditutup kepada pelancong sehingga 2021 dalam usaha memulihara batu karang yang semakin terhapus akibat pencemaran dan kebanjiran pelancong.

2. Pulau Boracay, Filipina

Pulau dengan pemandangan indah itu ditutup selama enam bulan pada April sehingga Oktober tahun lalu bagi melakukan kerja pembersihan yang disifatkan sebagai tempat penggumpul “najis” oleh presiden negara itu, Rodrigo Duterte.

Dianggarkan sekitar dua juta pelancong membanjiri pulau peranginan itu pada tahun sebelumnya dan kini ia dihadkan kepada 19,000 pelancong setiap hari bagi mengurangkan masalah pencemaran.

Selain itu, Boracay turut memperkenalkan beberapa undang-undang baharu seperti menghalang parti di pantai, merokok dan minum minuman keras di tempat terbuka.

3. Base Camp, Gunung Everest

Kerajaan China menutup base camp Gunung Everest yang terletak di wilayahnya tahun ini khususnya kepada sesiapa yang tidak mempunyai permit mendaki ekoran masalah sampah di kawasan itu.

4. Fjadrargljufur Canyon, Iceland

Bintang pop Justin Bieber pernah merakamkan video muziknya di Fjadrargljufur.

Lokasi menakjubkan ini ditutup selama tiga bulan tahun ini disebabkan masalah cuaca selain kesan tapak kaki pelancong.

Destinasi ini menjadi tumpuan selepas Justin melancarkan video muzik lagunya, I’ll Show You.

5. Pulau Faroe, Denmark

Tersenarai sebagai 10 destinasi popular pelancong, Pulau Faroe akhirnya ditutup sementara tahun ini untuk dibaik pulih selepas penambahan pelancong sebanyak 10 peratus pada tahun sebelumnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]