UNHCR sambut baik Rahmatan Alamin, mahu kebebasan beragama minoriti dijamin

Pesuruhjaya UNHCR Michelle Bachelet berkata tidak mengetepikan mana-mana individu juga bermakna memastikan hak kebebasan beragama setiap orang dihormati sepenuhnya, termasuk “mereka dari agama dan mazhab minoriti”.

PETALING JAYA: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNHCR), yang mengakhiri lawatan empat hari ke Malaysia, menyambut baik konsep Rahmatan Lil Alamin dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi menegaskan setiap individu perlu diberi kebebasan beragama termasuk mereka yang berlainan mazhab.

Tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana kumpulan, Michelle Bachelet berkata tidak mengetepikan mana-mana individu juga bermakna memastikan hak kebebasan beragama setiap orang dihormati sepenuhnya, termasuk “mereka dari agama dan mazhab minoriti”.

“Ini bermakna melindungi hak-hak Orang Asli, termasuk hak tanah mereka, melalui perundingan bermakna, dan memastikan pembangunan, perniagaan dan hak asasi manusia berjalan seiring.

“Cadangan meminda Akta Orang Asli 1954 dan Konvensyen Kebangsaan Orang Asli adalah langkah positif untuk diteruskan,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di akhir lawatan ke Malaysia semalam.

Baru-baru ini, isu kebebasan beragama menjadi perhatian susulan tindakan pihak berkuasa terhadap pengikut Syiah daripada mengamalkan kepercayaan mereka di negara ini.

Beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik tindakan keras terhadap pengikut Syiah di Selangor dan Johor, menyifatkannya sebagai kempen gangguan yang diselaraskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan kebebasan beragama ke semua setiap warganegara.

Bagaimanapun pihak berkuasa menganggap pengikut Syiah menyimpang daripada ajaran Islam.

Sempena lawatan ke Malaysia, Bachelet telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Selain itu, beliau juga dilaporkan bertemu dengan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dan P Waytha Moorthy, Suhakam dan organisasi masyarakat sivil.

Awal bulan lalu, Mujahid berkata konsep Rahmatan Lil Alamin dalam pelaksanaan Islam di negara ini tidak membawa maksud kerajaan akan berlembut dengan perbuatan mungkar atau bertentangan dengan ajaran Islam.

Kata beliau, berkata pengenalan konsep itu juga tidak bermakna kerajaan mengiktiraf perbuatan mungkar oleh orang Islam atau bagi meringankan hukuman ke atas perlakuan yang tidak selari dengan tuntutan agama.

Dalam kenyataannya, Bachelet turut menyambut baik kesungguhan kerajaan memperlihatkan kemajuan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam banyak bidang.

“Saya percaya SDG boleh menjadi asas bagi kompak sosial baru dan peluang bagi membina ruang lebih luas, benar-benar inklusif untuk hak asasi manusia.
“Saya amat kagum dengan visi Rahmatan Lil Alamin yang bersilang dengan matlamat SDG dan mengukuhkan kekuatan mereka,” katanya.

Kata Bachelet, beliau juga telah menegaskan SDG penting untuk tidak meninggalkan seseorang di belakang, bermakna penting untuk mengenal pasti dan secara bermakna menangani keadaan-keadaan sangat lemah, dan menyasarkan dasar tindakan afirmatif berdasarkan keperluan, menggunakan data dengan baik bagi mengenal pasti keperluan komuniti-komuniti khusus.

“Tidak meminggirkan sesiapa di belakang juga bermakna memastikan hak kebebasan beragama dihormati sepenuhnya, termasuk bagi mereka dari agama dan mazhab minoriti.”