Dr M ‘rayu’ pembangkang calonkan Umno di Tanjung Piai

Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta pimpinan PH pada sidang media hari ini.

PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad “merayu” pembangkang meletakkan calon daripada Umno untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, mengatakan ia akan membantu gabungan itu.

“Tolonglah supaya kita boleh menang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat majlis presiden PH di Yayasan Kepimpinan Negara hari ini.

Beliau hanya tersenyum apabila ditanya apakah yang menyebabkan beliau berkata demikian.

“Yang itu kita tak boleh beritahu,” katanya.

Mesyuarat pemimpin tertinggi PPBM, PKR, DAP dan PPBM hari ini membincangkan persediaan untuk PRK Tanjung Piai, yang mengundi pada 16 Nov ini selepas 14 hari berkempen.

Di pihak BN, Umno dan MCA masing-masing mengumumkan minat untuk bertanding di kerusi itu, yang kosong selepas kematian penyandang, Md Farid Md Rafik dari PPBM pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Sekutu Umno, PAS memberi keutamaan kepada calon BN, sementara di pihak PH, PKR menyokong calon daripada PPBM manakala DAP tidak meletakkan calon.

Tanjung Piai pernah menjadi medan tempur antara MCA dan DAP tetapi DAP beri laluan kepada PPBM pada pilihan raya umum lepas.

Farid menang kerusi itu dengan majoriti 524 undi. Penyandang, Wee Jeck Seng dari MCA, meraih 20,731 undi dan Nordin Othman dari PAS dapat 2,962 undi.

Sebanyak 57% pengundi di Tanjung Piai adalah Melayu, diikuti Cina (42%), dan India (1%).