Kerajaan kaji sistem harga dua peringkat di hospital swasta, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan terus menyokong industri kesihatan menerusi insentif cukai dan penyediaan rangka kerja pembangunan perniagaan yang membolehkan ia berkembang mampan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan sistem harga dua peringkat bagi hospital swasta, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita mahu melihat kos yang lebih murah bagi pesakit, malahan mungkin akan mencadangkan sistem harga dua peringkat bagi hospital swasta. Ia ada sesuatu yang kita perlu bincang dengan lebih lanjut bersama industri penjagaan kesihatan swasta.

“Sistem harga dua peringkat itu merangkumi semua pesakit,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, namun enggan menjelaskan lebih lanjut berhubung perkara itu.

Lim berkata, beliau maklum bahawa ada sesetengah hospital swasta melakukan banyak kerja amal dengan membayar sebahagian daripada bil bagi pesakit yang memerlukan dan menggesa agar lebih banyak hospital mengambil langkah yang sama.

Kerajaan juga katanya, sedang mengkaji langkah bagaimana hospital boleh menjimatkan kos dan seterusnya dapat menggunakan penjimatan ini kepada pengguna dengan membantu pesakit yang tidak mampu membayar kos rawatan.

Dalam hal ini, kerajaan mengumumkan tahun lepas bahawa cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan ke atas pesakit pusat kesihatan swasta, yang sebelum ini dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

Menurutnya, Kementerian Kewangan juga terus menyokong industri itu menerusi insentif cukai dan menyediakan rangka kerja pembangunan perniagaan yang membolehkan ia berkembang dengan mampan.

Lim berkata, satu lagi kemungkinan langkah untuk menjimatkan kos adalah dengan melaksanakan pemerolehan ubat-ubatan secara pembelian berpusat oleh sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.

“Kita sedang berbincang dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan pemerolehan ubat-ubatan secara pembelian berpusat supaya apabila kita membeli secara pukal, ia boleh didapatkan pada kadar lebih murah.

“Ketika ini, penyumberan ubat-ubatan dilakukan berasingan. Semuanya ini adalah tentang skala. Apabila anda membeli secara pukal, anda akan dapat kadar lebih murah,” katanya.

Sementara itu Kementerian Kesihatan berkata, pemerolehan ubat-ubatan secara pembelian berpusat peringkat kebangsaan secara rintis sedang dilaksanakan bagi 85 item ubat.

Ia berkata, tender bagi 14 daripada item tersebut dijangka dimuktamadkan sebelum akhir 2019.

“Laporan penjimatan kos akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan setiap enam bulan selepas kontrak dimuktamadkan.

“Selain itu, pemerolehan ubat-ubatan secara pembelian berpusat peringkat negeri juga boleh dilaksanakan bagi item ubat-ubatan yang tidak terlibat dengan tender pusat dan di luar Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) bagi tujuan penyelarasan harga, penjimatan kos dan memudahkan proses perolehan,” kata sumber kementerian itu lagi.