Khazanah sasar jual aset kurang hutang kepada RM35-RM40 bilion dalam 3 ke 5 tahun

Pengarah Urusan Khazanah Shahril Ridza Ridzuan berkata, dana kerajaan itu dijangka menjana hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd berhasrat mengurangkan hutang antara RM35 bilion dan RM40 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang daripada penjualan aset yang sedang dilaksanakan, menurut Pengarah Urusannya Shahril Ridza Ridzuan.

Dana kekayaan negara itu menyasar mengurangkan hutang tersebut daripada RM55 bilion kepada RM47 bilion pada tahun ini.

“Ini merupakan rancangan jangka sederhana kami yang secara asasnya menumpukan kepada paras hutang yang mampan, dan ia berhubung kait bagi menyediakan lembaran imbangan yang lebih mampan kepada Khazanah untuk jangka panjang.

“Kami mesti memastikan hutang itu berada pada kedudukan tepat untuk menyokong aset dan aktiviti Khazanah,” katanya kepada pemberita selepas Forum Khazanah Megatrend 2019, di sini, hari ini.

“Kami mempunyai dua matlamat pada tahun ini. Pertama, untuk menambah baik portfolio menerusi penjualan aset tanpa melibatkan masa depan jangka panjang kami dan melaburkan semula hasil yang dijana daripada penjualan aset baru terbabit.

“Yang kedua ialah menambah baik lembaran imbangan kami, iaitu mengurangkan lagi beban hutang,” jelasnya.

Beliau berkata, Khazanah dijangka menjana potensi hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini.

Dalam temu bual dengan RTM minggu lepas, Shahril Ridza dilaporkan berkata, nilai aset syarikat ialah RM130 bilion.

Bagi 2018, Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.896 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi ketika ia melalui proses peralihan yang juga seiring dengan ketidaktentuan pasaran.

Khazanah mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.5 bilion untuk 2018.